KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin bahawa, beliau tidak tahu bahawa mana-mana syarikat dalam program Jana Wibawa telah membuat sumbangan politik kepada Bersatu.
Beliau yang juga saksi pendakwaan ke-11 berkata demikian dalam perbicaraan empat kes salah guna kedudukan untuk suapan berjumlah RM225.3 juta dan tiga pengubahan wang haram (AMLA) sebanyak RM200 juta dihadapi Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
ARTIKEL BERKAITAN: Tengku Zafrul cadang projek dipercepat melalui Jana Wibawa
Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berusia 53 tahun itu berkata, Muhyiddin yang ketika itu merupakan Perdana Menteri, tidak pernah memaklumkan mana-mana syarikat yang dicadangkan untuk projek Jana Wibawa telah menyumbangkan dana.
“Saya juga tidak tahu sama ada syarikat-syarikat ini telah membuat sumbangan kepada mana-mana parti politik," katanya dalam kenyataan saksinya.
“Saya tidak menerima sebarang faedah kewangan peribadi mahupun sumbangan daripada syarikat yang terlibat dalam program Jana Wibawa,” katanya.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama hingga keempat, Ahli Parlimen Pagoh ini didakwa sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu, telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM225.3 juta.
Wang itu didakwa daripada seorang individu iaitu Azman Yusoff, 51 dan tiga syarikat, Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd serta Mamfor Sdn Bhd, bagi sekutu parti itu.
Bagi pertuduhan kelima hingga ketujuh, Muhyiddin selaku Presiden parti itu, didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM200 juta antaranya daripada Bukhary Equity, yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.
Perbicaraan di hadapan Hakim, Noor Ruwena Md Nurdin bersambung Selasa.






