
KENINGAU: Pasukan Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Tenom muncul juara Kejohanan Bola Sepak Bawah 18 Tahun Majlis Sukan Sekolah Sabah (MSSS) 2026 selepas menewaskan MSSD Keningau 4-0 pada perlawanan akhir.
MSSD Keningau terpaksa berpuas hati sebagai naib juara manakala MSSD Ranau menduduki tempat ketiga dalam kejohanan berkenaan.
Kemenangan bergaya itu membuktikan kemampuan pemain muda dari kawasan pedalaman untuk bersaing di peringkat lebih tinggi selain menyerlahkan potensi besar bakat bola sepak yang terdapat di daerah berkenaan.
Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Keningau (Keningau FA) Moddy Patrick berkata kejohanan itu menjadi platform penting dalam usaha mengenal pasti dan mencungkil bakat muda untuk diketengahkan ke peringkat negeri dan kebangsaan.
Beliau berkata kejayaan Tenom dan Keningau mara ke perlawanan akhir turut membuktikan kawasan pedalaman mempunyai ramai pemain muda berbakat yang berpotensi pergi lebih jauh sekiranya diberikan latihan, bimbingan dan pendedahan secara berterusan.
Katanya, pembangunan pemain di peringkat sekolah perlu terus diberi perhatian kerana ia antara platform terbaik untuk melahirkan generasi pemain bola sepak Sabah pada masa akan datang.
Beliau menambah pemain yang mempamerkan prestasi terbaik sepanjang kejohanan berpeluang dipilih untuk mewakili Sabah pada Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).
Sementara itu, Moddy berharap pemain yang terpilih dapat memanfaatkan peluang berkenaan untuk menimba pengalaman, meningkatkan kualiti permainan dan memberikan persembahan terbaik bagi mengharumkan nama Sabah di peringkat kebangsaan.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada MSSD Tenom atas kejayaan muncul juara selain memuji MSSD Keningau kerana memberikan saingan sengit sehingga berjaya menamatkan kejohanan sebagai naib juara.
Katanya, pencapaian kedua-dua pasukan itu wajar dijadikan pemangkin kepada usaha memperkukuh pembangunan bola sepak akar umbi, khususnya di kawasan pedalaman Sabah bagi melahirkan lebih ramai pemain berkualiti pada masa hadapan.





