
Tenom: Tenom menyasarkan pengeluaran kopi tempatan mampu memenuhi sekurang-kurangnya 50 peratus keperluan empat kilang kopi di daerah itu menjelang 2030.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (Maffi) Datuk Jamawi Jaafar (gambar) berkata usaha meningkatkan pengeluaran kopi akan dipergiatkan menerusi galakan kepada orang ramai untuk mendaftar tanah masing-masing bagi tujuan penanaman kopi.
“Bagi tahun ini kita membuka peluang kepada orang ramai yang berminat untuk menanam kopi supaya mendaftarkan tanah masing-masing.
“Kita setakat ini telah memperoleh kira-kira 70 ekar bagi tanaman kopi baharu di Tenom dan saya berharap jumlah itu akan terus meningkat,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melalap berkata demikian ketika berucap pada Pesta Kopi Tenom 2026 di Dewan Datuk Seri Panglima Antanum pada Jumaat.
Jamawi menyatakan lebih banyak sokongan akan diusahakan bagi membantu petani yang berminat mengusahakan tanaman kopi sekaligus meningkatkan pengeluaran untuk memenuhi keperluan kilang pemprosesan kopi di daerah terbabit.
Menurutnya tanaman kopi memerlukan kira-kira tiga tahun sebelum mula mengeluarkan hasil manakala harga kopi kering ketika ini dianggarkan RM20 sekilogram.
Beliau berkata antara cabaran yang perlu ditangani ialah proses pengeringan kopi bagi memastikan hasil pengeluaran dapat diuruskan dengan lebih baik.
“Masalah berkaitan pengeringan dan sebagainya akan kita cuba atasi melalui pembinaan kilang pengeringan kopi di Tenom.
“Projek itu telah diluluskan oleh Kementerian Pertanian dan bakal dilaksanakan dalam masa terdekat. Ketika ini, ia sedang dalam proses tender,” jelasnya.
Dalam pada itu beliau berharap usaha memperluaskan penanaman kopi serta penyediaan kemudahan pemprosesan dapat meningkatkan pengeluaran kopi Tenom serta memastikan bekalan mencukupi untuk memenuhi keperluan industri tempatan.
Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Datuk Ts Jifrin Mohamad, Pegawai Daerah Tenom Alexander Liew dan Pegawai Pertanian Daerah Tenom Ts Mohammad Fauzi Ab Gulam.
Terdahulu Jamawi bersama Alexander serta pegawai kementerian yang lain menyambut ketibaan para penumpang keretapi Ekspress dari Tanjung Aru - Tenom yang pertama pada Jumaat.
Dijadualkan bahawa perkhidmatan keretapi khas berkenaan berjalan selama tiga hari bermula 23 sehingga 25 Oktober.





