amree19/10/2026 - 15:31 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Okt – Pengeluar dan pembekal bahan binaan tempatan, Chuan Huat Resources Berhad (CHRB) mengambil langkah strategik untuk melonjakkan kapasiti pengeluaran jaring dawai sebanyak 50% bagi memenuhi lonjakan permintaan pasaran pembinaan yang semakin pulih.
Langkah positif berkenaan diambil berikutan operasi kilang pengeluaran sedia ada syarikat tersebut di Nilai, Negeri Sembilan kini sudah mencapai tahap kapasiti penuh 100% dengan beroperasi 24 jam sehari tanpa henti pada kadar purata mencecah 3,000 tan metrik sebulan.
Bagi membiayai pelan pengembangan tersebut, CHRB telah mengemukakan pekeliling kepada Bursa Malaysia untuk kelulusan pemegang saham berhubung cadangan penempatan persendirian sehingga 33.73 juta saham baharu, mewakili 20% daripada jumlah saham terbitan syarikat.
"Pelaksanaan penempatan persendirian berkenaan dijangka mampu menjana hasil kasar sehingga RM8.42 juta berdasarkan harga terbitan ilustrasi RM0.2495 sesaham, sekali dapat dijadikan sebagai modal tambahan," jelas makluman kumpulan berkenaan lagi.
Daripada jumlah yang bakal diraih itu, sebanyak RM7.72 juta atau 91.7% diperuntukkan khusus bagi membeli satu barisan pengeluaran jaring dawai baharu di kilangnya di Nilai, manakala baki RM700,000 digunakan untuk membiayai kos perbelanjaan cadangan korporat berkenaan.
Pemasangan barisan baharu ini ujar CHRB, dijangka membolehkan kapasiti pengeluaran bulanan jaring dawai syarikat tersebut melonjak daripada 3,000 tan metrik kepada 4,500 tan metrik, di samping meningkatkan kecekapan operasi dan mengurangkan masa terhenti.

Lembaga Pengarah kumpulan itu menegaskan bahawa cadangan penempatan persendirian merupakan saluran pengumpulan dana paling wajar kerana ia membolehkan syarikat meraih dana baharu dengan lebih pantas tanpa menambah beban kos faedah dan pinjaman bank.
"Langkah penstrukturan dana ini turut menyokong pemulihan kewangan CHRB selepas syarikat berdepan cabaran kerugian akibat ketidaktentuan harga keluli dunia serta persekitaran pasaran yang mencabar dalam beberapa tahun kewangan kebelakangan ini," katanya.
Sebagai Langkah rasionalisasi perniagaan, CHRB sebelum ini menutup operasi kilang pengeluaran di Puchong, Selangor untuk disepadukan di Nilai, selain melupuskan 63.9% pegangan dalam Pineapple Resources Berhad (PRB) bernilai RM26.0 juta bagi mengurangkan beban hutang.
Serentak dengan penempatan persendirian tersebut, ia turut mencadangkan penubuhan Skim Saham Pekerja (ESS) sehingga 15% daripada jumlah saham terbitan bagi mengiktiraf, memberi ganjaran serta mengekalkan tenaga kerja dan pengarah yang berkelayakan.
Cadangan korporat ini sudah mendapat kelulusan penyenaraian daripada Bursa Malaysia pada 12 Oktober 2026, dan bakal dibentangkan untuk kelulusan rasmi para pemegang saham dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 3 November 2026. - DagangNews.com






