Tentang pertandingan terakhir Hajiji dan hasrat rakyat Sabah

LocalPolitics
24 Aug 2025 • 9:57 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

PENGUMUMAN Datuk Seri Hajiji Noor, Ketua Menteri kita, bahawa pilihan raya negeri akan datang merupakan pertandingan terakhirnya meninggalkan saya dengan sedikit rasa sedih dan sentimen nostalgia. Bagi ramai rakyat Sabah, Hajiji ialah satu figura yang sudah sekian lama mewarnai landskap politik negeri, mengharungi segala gelombang dengan ketabahan yang tenang.

Bagi saya sendiri, ia membangkitkan kenangan ketika berbual dengannya sewaktu membantu penulisan autobiografinya My Journey. Pernah sekali saya bergurau serius mencadangkan bahawa apabila tiba masanya beliau bersara daripada politik aktif, beliau boleh beraspirasi ke jawatan Yang di-Pertua Negeri Sabah.

Beliau tersenyum mendengarnya, lalu menegaskan jawatan itu tidak pernah ada dalam rancangannya. Apa yang beliau inginkan hanyalah sebuah persaraan yang tenang dan bermaruah setelah lebih 35 tahun berkhidmat sejak mula terjun ke dunia politik pada tahun 1990.

Autobiografinya melukiskan gambaran seorang lelaki yang pada awalnya tidak pernah terfikir menjadi ahli politik. Sebagai graduan Southern New Hampshire University ia memulakan kerjayanya sebagai pegawai kastam di Tawau, berpuas hati dengan kestabilan perkhidmatan awam serta jaminan pencen.

Politik bukanlah satu panggilan jiwa, sebaliknya satu campur tangan takdir. Takdir itu datang apabila Tun Mustapha Harun memanggilnya ke Bangunan Usia di Sembulan. Dengan Karim Bujang di sisinya, Hajiji mendengar dengan terkejut ketika Tun yang disanjung itu mengarahkannya meletakkan jawatan dan bertanding di bawah tiket Usno. Ketika itu Hajiji belum pun menjadi ahli Usno, dan bayangan bertanding sebagai calon pembangkang menentang kerajaan PBS seolah-olah mustahil.

Ibunya yang berfikiran praktikal pula dengan tegas menyuarakan keraguan: “Mana kau boleh menang itu. PBS sekarang memerintah, kau jadi calon pembangkang!”Namun sejak awal lagi, nasib campur tangan dalam cara yang pelik. Seorang ahli perniagaan di Tawau secara senyap berjanji memberi Hajiji pekerjaan sekiranya percubaan politiknya gagal. Walaupun pencalonannya disokong Tun Mustapha, ia menimbulkan kemarahan dalam bahagian Usno Tuaran. Pemimpin tempatan yang lama berkhidmat di bawah Yusof Manan menganggapnya sebagai orang luar yang ‘bidan terjun’ untuk merampas kedudukan mereka. Hanya dengan diplomasi berhikmah Allahyarham Hj Musa Milip, pemberontakan itu berjaya diredakan, dan akhirnya membolehkan Hajiji bertanding.

Namun kempen pilihanraya itu berlangsung hampir tanpa sokongan dan tanpa dana diterimanya. Peruntukan diagihkan kepada jentera bahagian, meninggalkan Hajiji tanpa perbelanjaan apa-apa. Kerana yakin akan kalah, beliau malah melambatkan undinya hingga petang, lalu pulang untuk tidur menelan kepahitan kekalahan yang dijangka. Panggilan telefon pada malam itu memaklumkan beliau menang — Adalah sesuatu yang mengejutkan dan mengubah hidupnya.

Dari permulaan yang mustahil itulah, perjalanan politik Hajiji berkembang dengan penuh kesusahan dan juga keberuntungan. Ramalan seakan sentiasa membayangi. Seorang bomoh di Lahad Datu meramalkan beliau akan jadi orang besar. Selepas kemenangan mengejut itu, bomoh yang sama datang ke Serusup — tempat Hajiji masih tinggal di rumah papan bertiang — lalu berkata, “Kan sudah saya bilang, kau akan jadi orang besar. Sekarang kau YB sudah!” Pilihan raya negeri 1994 membawa satu lagi ramalan bahawa Barisan Nasional akan menang. Pada mulanya ia tampak salah, sehinggalah dua wakil rakyat melompat parti, menjatuhkan kerajaan PBS dan mengesahkan ramalan itu.

Kenaikan Hajiji bukanlah mendadak atau mudah. Ia terbentuk daripada berpuluh tahun berkhidmat mula-mula sebagai Setiausaha Politik kepada Tun Ghafar Baba, kemudian secara beransur-ansur naik menjadi Pembantu Menteri, Menteri, dan akhirnya Ketua Menteri.

Mendengar kini bahawa niatnya untuk tidak bertanding selepas PRN17 terasa seperti menyaksikan penutupan lembut sebuah bab dalam sejarah politik Sabah. Ia mengingatkan kita bagaimana masa membentuk semula pemimpin dan masyarakat yang mereka pimpin. Persoalannya, bagaimanakah pengunduran ini akan diterjemahkan di peti undi?Adakah para pengundi akan menyokongnya sekali lagi, memberi kemenangan terakhir sebagai tanda penghargaan? Atau adakah pengumuman ini menyebabkan ramai pengundi tidak lagi mengundinya dan dengan demikian akan mempercepatkan persaraan beliau, mungkin seawal tahun depan?Namun keputusan peribadinya mesti juga dilihat dalam latar yang lebih luas iaitu perjuangan politik Sabah. Negeri ini sedang berdepan pertarungan besar antara dua visi. Satu pihak mewakili model pemerintahan lama dengsn dominasi Persekutuan, di mana parti-parti dari Semenanjung masih banyak menentukan hala tuju Sabah.

Di pihak satu lagi, sudah bangkitnya seruan kuat untuk autonomi — Sabah diperintah oleh rakyat Sabah sendiri melalui parti-parti tempatan yang bertapak dengan akar budaya dan Sejarah Sabah sendiri. Sentimen di lapangan jelas menunjukkan aspirasi pro-Sabah yang kedua ini semakin kuat, terutama dalam kalangan generasi muda yang melihat autonomi bukan sekadar slogan, tetapi satu keperluan.

Keluhan ini bukan baharu. Janji-janji berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) — khususnya mengenai perkongsian hasil, royalti minyak, dan autonomi pentadbiran — berulang kali disebut tetapi hanya dipenuhi secara separa atau langsung tidak ada.

Kekecewaan terasa nyata. Tan Sri Harris Salleh pernah memberi amaran bahawa jika diadakan referendum, lebih 80% rakyat Sabah mungkin memilih untuk keluar daripada Persekutuan. Sama ada angka itu tepat atau tidak, amaran tersebut menggambarkan satu kebenaran, iaitu kesabaran Sabah semakin menipis.

Pemerhati dan penganalisis kini semakin menekankan kebangkitan sentimen “Sabah untuk Sabahans”. Penting untuk difahami, gerakan ini bukan seruan untuk pemisahan, tetapi satu kematangan politik, iaitu supaya Sabah mengurus hal ehwal sendiri dalam Malaysia tanpa campur tangan berlebihan dari Putrajaya. Ia soal maruah, identiti, dan hak menentukan nasib sendiri. Seperti yang pernah dijelaskan oleh seorang Sabahan: “Bukan kami mahu keluar Malaysia — kami cuma sudah letih dengan kerajaan Persekutuan yang gagal menunaikan perjanjian 1963.”Dalam suasana tegang ini, pemimpin tempatan memperhebatkan seruan perpaduan, khususnya dalam kalangan parti-parti berasaskan Momogun. Tujuan segera mereka adalah menghalang Pakatan Harapan dan Barisan Nasional daripada kembali menguasai Sabah melalui majoriti di Dewan Undangan Negeri. Khabar angin pula hangat dengan persoalan: “Bila STAR akan keluar daripada GRS?” Spekulasi mengatakan parti itu mungkin akan berdiri secara solo bersama pasangan-pasangan baru dalam PRN17. Ia besar kemungkinan akan meneruskan rancangan bergabung dengan PBS untuk mdwujudkan PBSTAR. Masalahnya ketika ini PBS masih teragak-agak walaupun didesak oleh tokoh senior parti itu agar mengambil pendirian pro-Sabah.

Menjelang PRN17, suasana politik semakin sarat dengan jangkaan. Dengan hanya beberapa minggu sebelum pembubaran DUN, jajaran kuasa boleh berubah secara mendadak. Bagi rakyat biasa, suasana bagaikan penuh debaran, seolah-olah duduk di hujung kerusi menanti berita terkini meletup di media.

Dalam atmosfera inilah — penuh nostalgia terhadap pemimpin lama dan desakan tuntutan masa kini — Hajiji bersiap sedia untuk mengucapkan selamat tinggal.

Pertandingan terakhirnya bukan sahaja menutup perjalanan peribadi, tetapi mungkin juga menjadi mukadimah kepada bab baharu dalam pencarian Sabah untuk penentuan nasib sendiri yang lebih besar dan gemilang!Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan Harian Ekspres.