Tentera Amerika tembak roket jarak jauh HIMARS dalam latihan bersama Tentera Darat Malaysia

29/07/2025 - 10:45
Sistem pelancar roket mobiliti tinggi HIMARS milik Tentera Darat AS. Oleh Zaki Salleh
KUALA LUMPUR 29 Julai - Seperti dijangka, Tentera Darat Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) menguji aset tempur strategik masing-masing iaitu sistem pelancar roket berganda pada Latihan Lembing Sakti 2025.
Sistem ASTROS milik TDM, manakala M142 HIMARS kepunyaan AS melakukan tembakan di Lapang Sasar Tanjung Hantu, Lumut, Perak pada 28 Julai.
Latihan Lembing Sakti 2025 adalah sebahagian daripada eksesais besar-besaran Malaysia-AS dan Australia iaitu Keris Strike 30/2025 yang bermula 17 Julai hingga 29 Julai.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat menyaksikan eksesais tersebut.


Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Duta AS ke Malaysia, Edgard D. Kagan.
Ini merupakan kali pertama HIMARS atau Sistem Roket Artileri Mobiliti Tinggi milik Tentera Darat AS melaksanakan tembakan peluru hidup di Malaysia.
Antara objektif utama eksesais tersebut adalah menguji kesiagaan tempur dan keberkesanan sistem senjata artileri roket serta meningkatkan keupayaan kerjasama antara lain-lain pasukan.
Sebelum ini Tentera Darat AS pernah melakukan latihan serupa dengan tentera Indonesia manakala bulan lalu di Filipina.
Sistem HIMARS yang dipasang pada trak mampu melancarkan pelbagai jenis roket panduan tepat pada jarak 70 kilometer (km) sehingga 300km.


HIMARS menggunakan sistem pemanduan canggih GPS/INS yang membolehkan peluru berpandu menyerang sasaran dengan ketepatan hampir 100 % pada jarak jauh.
Kemampuan ini memberikan kelebihan strategik dalam menyerang sasaran musuh dari jauh tanpa perlu menghampiri kawasan berisiko tinggi.
Sistem ini boleh diangkut dengan pesawat C-130 Hercules, membolehkan ia diatur gerak secara pantas ke kawasan operasi.
Tentera AS mula menggunakan HIMARS pada tahun 2005 dan telah digunakan secara meluas dalam operasi di Iraq, Syria dan Afghanistan.
Sistem HIMARS juga memainkan peranan utama dalam Perang Rusia-Ukraine apabila memberi kelebihan kuasa tembakan jarak jauh kepada Ukraine.


Keberkesanan penggunaan di sana telah melonjakkan permintaan global untuk sistem HIMARS.
Dalam Latihan Lembing Sakti ini, tiga buah sistem pelancar ASTROS dan sebuah sistem HIMARS terlibat.
Eksesais tersebut melibatkan penggunaan peluru roket SS-30 pada ASTROS dan roket M-31A1 pada HIMARS.
Menariknya dalam latihan ini apabila Briged Artileri Roket turut melibatkan penggunaan sistem radar pengesan tembakan artileri iaitu ARTHUR dan buat pertama kalinya dron FlyEye.
Sistem pesawat tanpa pemandu (UAS) FlyEye adalah sebahagian daripada inventori baharu ATM.

FlyEye yang dihasilkan firma WB Group dari Poland merupakan sistem UAS yang digunakan untuk risikan, pemerhatian, dan pengawasan (ISR).
Ia mempunyai beberapa ciri penting seperti motor elektrik senyap dan reka bentuk yang mudah dibawa dan dikendalikan.
Kehadiran HIMARS pada Latihan Keris Strike 30/2025 telah mencuri tumpuan kerana jarang-jarang AS melibatkan sistem persenjataan strategik atau artileri jarak jauh dalam latihan bersama di Malaysia.
Jadi, penyertaan aset strategik ini dilihat memberi pendedahan baharu kepada pegawai dan anggota Tentera Darat Malaysia yang terlibat tentang ciri-ciri dan taktik penggunaan senjata tersebut.


Walaupun secara asasnya pengoperasian ASTROS dan HIMARS tidak berbeza, tetapi teknologi dimiliki senjata buatan AS ini termasuk peluru roket berteknologi tinggi merupakan satu pendedahan baharu.
Justeru, peluang melaksanakan latihan tembakan bersama ini cukup penting apabila pegawai dan anggota Briged Artileri Roket Tentera Darat Malaysia dapat mempelajari perkara baharu.

Latihan Lembing Sakti 2025 membuktikan keupayaan taktikal ATM dalam memperkukuh kesiapsiagaan tempur dan keupayaan pertahanan negara.
Platform latihan bersama dengan negara sahabat bukan sahaja merapat kerjasama tetapi menjamin kestabilan serta keselamatan strategik di rantau ini. - DagangNews.com
featured standard


