
RAMALLAH, Tebing Barat – Lebih 3,000 warga Palestin diusir dalam operasi tentera Israel di bandar Hebron, wilayah Tebing Barat , kata pihak berkuasa majlis perbandaran semalam.
Majlis perbandaran di Hebron iaitu bandar terbesar di wilayah Palestin yang diduduki Israel itu berkata, seramai 3,189 orang termasuk lebih 200 bayi dipaksa keluar dari rumah mereka dalam operasi tersebut.
Operasi Israel itu susulan serangan pada Jumaat lepas di mana dua pejuang Palestin membunuh dua askar Yahudi sebelum mereka ditembak mati di sebuah pos pemeriksaan berhampiran Hebron, beberapa hari menjelang pilihan raya umum Israel lewat hari ini.
Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berikrar akan melancarkan operasi besar-besaran sebagai tindak balas, dengan tentera Israel segera memasuki kejiranan Ein Deir Baha di Hebron yang menjadi tempat tinggal penyerang terbabit, serta mengusir penduduknya.
Tentera Israel memberitahu AFP bahawa pihaknya menangkap 40 orang di seluruh Tebing Barat, termasuk 20 di Hebron, selepas menjalankan operasi geledah di lebih 400 lokasi sejak permulaan operasi.
“Di Hebron, tentera menjalankan operasi geledah tersasar dan teliti untuk mengesan dan memusnahkan infrastruktur penyerang serta mengesan senjata, di samping menyoal siasat suspek,” kata tentera Israel.
Sementara itu, ketua hak asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Volker Turk berkata, operasi agresif Israel mengakibatkan rumah dan premis perniagaan dimusnahkan, serta menafikan kebebasan bergerak penduduk Palestin.
“Ancaman untuk mengosongkan dan menghapuskan seluruh kejiranan juga menimbulkan kebimbangan serius mengenai pembersihan etnik,” katanya.
Stesen penyiar awam Israel, Kan pula melaporkan perselisihan faham antara ketua tentera Israel dan Netanyahu mengenai tempoh operasi tersebut.
Menurutnya, Ketua Staf Tentera Mejar Jeneral Eyal Zamir menggesa operasi itu ditamatkan menjelang kelmarin dengan hujah tentera Israel telah mencapai matlamatnya.
Memetik sumber tentera, Kan melaporkan bahawa Netanyahu menuntut agar operasi tentera diteruskan tanpa menghiraukan perkara itu. – AFP
The post Tentera Israel usir lebih 3,000 warga Palestin termasuk 200 bayi appeared first on Kosmo Online.




