Tepati Ramalan, Nurul Izzah Menang Bergaya, Rafizi Ketinggalan Jauh

LocalPolitics
23 May 2025 • 11:18 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Persaingan antara Rafizi Ramli dan Nurul Izzah berakhir dengan kemenangan menjadi milik bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Menepati jangkaan ramai, Nurul Izzah Anwar menang bergaya dan mengungguli jawatan Timbalan Presiden PKR selepas keputusan rasmi diumumkan malam tadi. 

Mendahului dengan jumlah selesa, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh tersebut memungut 9,803 undi untuk menewaskan pencabarnya, Datuk Seri Rafizi Ramli. 

Ahli Parlimen Pandan itu hanya meraih 3,866 undi. 

Keputusan berkenaan diumumkan Pengarah Jawatankuasa Pemilihan PKR, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Turut diumumkan sebagai pemenang ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengekalkan kedudukan sebagai Presiden tanpa bertanding. 

image is not available
Anwar Ibrahim - Gambar fail

Anwar yang juga Menteri Kewangan menyandang portfolio Presiden sejak 2018.

Turut menepati ramalan ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Kedua-dua mereka bertanding merebut jawatan Naib Presiden parti. 

Dua lagi pemenang ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang serta Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan. 

image is not available
Fadhlina Sidek - Gambar fail

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengekalkan kedudukan sebagai Ketua Wanita, manakala Kamil Minin memenangi jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) tanpa bertanding. 

Sumber memberitahu Getaran, kemenangan Izzah sudah dijangka selepas menerima sokongan hampir 200 cabang daripada jumlah keseluruhan 222. 

“Memang kami dah jangka kemenangan Nurul Izzah. Walaupun secara kasar Rafizi dilihat memberikan saingan sengit, namun sokongan diterima Rafizi tidak menyeluruh di akar umbi,” katanya ketika dihubungi. 

Sejumlah 33,030 ahli mengundi untuk memilih barisan kepimpinan pusat PKR tahun ini. - Getaran, 23 Mei 2025