Terap Konsep Stadium Dalam Taman, Stadium Shah Alam Bakal Bertaraf Dunia

30 Sep 2022 • 8:09 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Pembangunan tersebut bukan sahaja merangkumi pembinaan semula stadium bertaraf dunia, tetapi turut meliputi taman rekreasi sebagai kemudahan riadah rakyat Selangor. - Gambar ihsan MBI

SHAH ALAM - Stadium Shah Alam bakal dibangunkan semula menggunakan konsep stadium dalam taman, bagi menjadikan ia sebuah kemudahan sukan dan rekreasi yang serba canggih berteraskan komuniti.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pembangunan tersebut bukan sahaja merangkumi pembinaan semula stadium bertaraf dunia, tetapi turut meliputi taman rekreasi sebagai kemudahan riadah rakyat negeri itu.

Menurut beliau, kompleks sukan itu juga bakal menawarkan pelbagai peluang perniagaan kepada golongan belia untuk merancakkan lagi ekonomi negeri.

“Cadangan pembangunan semula stadium ini selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan ia sebuah kompleks yang mampan, mesra rakyat dan kukuh dari aspek ekonomi.

“Saya dimaklumkan pemaju juga telah mengambil kira nilai sejarah serta warisan stadium dan mengekalkan reka bentuk siluet asal yang begitu ikonik atau sinonim dengan negeri Selangor,” katanya pada sidang media di sini  hari ini.

Pembangunan semula Stadium Shah Alam bakal dikendalikan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), sebuah syarikat pembinaan dan pembangunan hartanah yang berpangkalan di ibu negara.

image is not available
Pihak pemaju juga bercadang menukar sebahagian dari kawasan kompleks sukan ini menjadi taman komuniti rekreasi awam, manakala selebihnya akan dibangunkan sebagai fasiliti sukan moden seperti bola sepak, hoki serta permainan dalaman termasuk badminton dan gimnastik. - Gambar ihsan MBI

Sementara itu, Pengarah Urusan MRCB, Imran Salim berkata, kompleks terbabit dijangka menjadi satu lagi mercu tanda bandar raya Shah Alam, dengan kapasiti antara 35,000 hingga 45,000 penonton.

Katanya, beliau optimis pembangunan semula itu bakal mengembalikan kegemilangan Stadium Shah Alam.

“Kerajaan negeri yakin ciri-ciri baharu kompleks sukan ini dan pembangunan dicadangkan di kawasan sekitar akan memberi manfaat yang cukup besar kepada rakyat.

“Kami akan pastikan stadium ini menerima pengiktirafan yang diperlukan. Ia akan menerima kelulusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) supaya perlawanan antarabangsa bertaraf FIFA dapat diadakan,” katanya.

Beliau menarik perhatian, keputusan untuk membangunkan semula kompleks sukan itu dibuat berdasarkan keperluan semasa, susulan penilaian terhadap aspek keselamatan, kepentingan dan faedah jangka panjang terhadap rakyat negeri itu.

“Pihak pemaju juga bercadang menukar sebahagian dari kawasan kompleks sukan ini menjadi taman komuniti rekreasi awam, manakala selebihnya akan dibangunkan sebagai fasiliti sukan moden seperti bola sepak, hoki serta permainan dalaman termasuk badminton dan gimnastik.

“Selain daripada stadium dalam persekitaran taman komuniti yang estetik, kawasan tersebut juga akan dijadikan sebagai hab sukan dan tempat berkumpul pelbagai lapisan komuniti,” katanya.

Mengulas lanjut Imran berkata, pembangunan semula itu akan memberi tumpuan kepada infrastruktur semasa, dengan turut mengambil kira masalah banjir dan trafik di dalam stadium.

image is not available
Pembinaan stadium di kompleks tersebut mampu mendapat kelulusan piawaian daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang mampu memuatkan sehingga 35,000 penonton.

Tambahnya, kompleks itu juga dirancang untuk dijadikan hab pengangkutan bersepadu dengan kewujudan stesen Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) dan terminal bas bagi kemudahan akses kepada Kompleks Sukan Shah Alam serta kawasan persekitaran.

“Antara ciri-ciri lain kompleks sukan bersepadu ini ialah trek riadah, laluan berbasikal, tempat letak kenderaan yang luas, taman sukan ekstrem, hotel, outlet barangan sukan, bazar, dewan serba guna, arena acara dalaman, bilik seminar dan muzium sukan,” katanya.

Dalam perkembangan sama Amirudin menegaskan, cadangan awal yang diterima walaupun menepati aspirasi kerajaan negeri, semua ciri pembangunan perlu diperincikan sebelum dipersetujui, demi memastikan kepentingan Selangor dan rakyat diutamakan.

“Atas faktor ini, satu pameran awam akan diadakan pada masa terdekat untuk memperlihatkan cadangan pemaju bagi mendapat lebih banyak maklum balas daripada orang ramai.

“Cadangan keseluruhan pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam ini akan dimuktamadkan selepas kerajaan negeri melakukan kajian terperinci, dengan mengambil kira semua maklum balas tersebut,” katanya.  - Getaran, 30 September 2022