Terbabas selepas dikejar 16 km, sindiket tinggal hampir sejuta batang rokok

27 Jun 2026 • 1:14 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Terbabas selepas dikejar 16 km, sindiket tinggal hampir sejuta batang rokok
Nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan yang digunakan dianggarkan RM2.01 juta - Foto: PPM

KOTA BHARU – Cubaan sindiket menyeludup hampir sejuta batang rokok putih gagal apabila dua kenderaan yang dikesan dalam keadaan mencurigakan terbabas selepas dikejar sejauh 16 kilometer (km) dalam operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga pada Jumaat.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Mohd Khairuddin Jamal berkata, operasi hasil maklumat awam itu bermula apabila sepasukan pegawai dan anggota Unit Risikan Marin (URM) mengesan sebuah lori satu tan dan sebuah kereta di kawasan Salor, di sini.

Menurut beliau, kedua-dua kenderaan itu cuba melarikan diri sehingga berlaku aksi kejar-mengejar sejauh kira-kira 16 km sebelum berakhir di kawasan Ketereh.

"Suspek bertindak meninggalkan kenderaan dan melarikan diri selepas kedua-duanya terbabas di bahu jalan.

"Pasukan serbuan mengejar suspek, namun gagal memberkas mereka," katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 976,800 batang rokok putih yang dipercayai diseludup masuk ke negara ini.

Tambahnya, nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan yang digunakan dianggarkan berjumlah RM2.01 juta.

"Kes dirujuk kepada Bahagian Siasatan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kota Bharu dan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved