Terbabit Sindiket Penyeludupan, 10 Termasuk 5 Pegawai Kanan ATM Direman

LocalPolitics
14 Aug 2025 • 6:47 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar SPRM

KUALA LUMPUR - Sepuluh individu direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini selepas disyaki terlibat dengan sindiket penyeludupan yang beroperasi di selatan tanah air.

Sumber memberitahu Getaran, kesemua mereka termasuk lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dua wartawan agensi media atas talian, seorang pengurus syarikat dan pembantu pentadbiran di Malaysian Medical Association (MMA).

Menurut beliau, turut direman ialah  wanita warga asing.

“Empat suspek lelaki direman selama tujuh hari sehingga 20 Ogos, dua lelaki dan seorang wanita pula direman selama dua hari sehingga 18 Ogos.

“Dua lagi suspek lelaki dan wanita warga Indonesia direman selama tiga hari sehingga 15 Ogos,” katanya.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Sumber memberitahu lagi, lima pegawai kanan tentera dan lima orang awam berusia lingkungan 30 sehingga 55 tahun itu ditangkap di sekitar Lembah Klang menerusi Op Sohor, yang dijalankan Bahagian Perisikan SPRM dengan Kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Rabu.

"Kesemua pegawai kanan perisikan tentera itu dipercayai bersubahat dan membocorkan maklumat operasi kepada sindiket penyeludupan bagi mengelakkan sindiket terbabit daripada dikenakan tindakan.

"Barang seludup yang dibawa masuk ke negara ini terdiri daripada dadah serta rokok dan barang-barang lain dari negara-negara jiran yang dianggarkan bernilai kira-kira RM5 juta sebulan," katanya.

Sumber berkata, hasil risikan yang dijalankan selama 12 bulan mendapati, sindiket terbabit dipercayai membayar rasuah antara RM30,000 hingga RM50,000 kepada pegawai-pegawai kanan tentera berkenaan.

Bayaran itu jelas beliau, dibuat setiap kali menyeludup masuk barangan berkenaan dan rangkaian penglibatan pegawai-pegawai kanan tentera terbabit di dalam sindiket tersebut adalah besar serta kompleks.

“Dalam operasi pada Rabu itu, SPRM turut menemui sejumlah wang tunai lebih RM63,000, beberapa bungkusan dipercayai dadah, alat penimbang dan penyukat, minuman keras serta senjata api tiruan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan mengenai penahanan berkenaan.

“Kes disiasat berkaitan jenayah rasuah dan aktiviti penggubahan wang haram,” katanya. - Getaran, 14 Ogos 2025