Terbayang lambaian, ucapan selamat tinggal terakhir 2 anak sebelum maut kemalangan

LocalFamily & Parenting
20 Jun 2026 • 3:46 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Terbayang lambaian, ucapan selamat tinggal terakhir 2 anak sebelum maut kemalangan
Nurul Alhana (dua dari kiri) sedih namun tetap tenang mengikuti proses pengebumian jenazah dua anak perempuannya.

TEMERLOH – “Mereka sempat melambai tangan dan mengucapkan selamat tinggal berulang kali sebelum menaiki kenderaan untuk ke tempat berniaga petang semalam.

“Lambaian mereka agak berbeza semalam walaupun memang begitu setiap kali hendak ke mana-mana. Rupanya itu lambaian terakhir mereka.”

Demikian luah Nurul Alhana Othman, 48, ibu kepada Dinie Hanis Noor Azlan Efenddy, 23, yang maut bersama adiknya, Dinie Nasuha Noor Azlan Efenddy, 19, dalam nahas dua kenderaan di Kilometer 24, Jalan Temerloh-Bandar Jengka dekat Felda Jengka 19 pada Jumaat.

Ibu kepada enam anak itu kini berdepan trauma mendalam selepas kehilangan dua anak perempuan serentak dalam nahas tersebut.

Nurul Alhana, yang kematian suami kira-kira dua tahun lalu, berkata dua anaknya itu merupakan insan yang berbakti dan banyak berkorban membantu keluarga selepas ayah mereka meninggal dunia.

Katanya, anak kedua dan keempat itu membantunya berniaga makanan di pasar malam dan tapak perniagaan lain termasuk jualan ‘car boot sale’ di Bandar Jengka.

“Saya sudah lama tidak keluar berniaga, jadi Dinie Hanis dan adiknya yang membantu berniaga mencari rezeki buat keluarga.

“Saya dah hampir empat atau lima tahun duduk di rumah. Mereka yang banyak membantu saya. Kalau saya hendak berniaga pun, mereka akan bantu dan tidak mahu saya susah,” katanya dengan nada sebak ketika ditemui selepas selesai majlis pengebumian jenazah dua anaknya itu di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gau Baru di sini pada Sabtu.

Lebih memilukan, Dinie Hanis sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada minggu hadapan.

“Memang dia hendak berkahwin minggu depan, hari Jumaat tetapi tidak kesampaian,” ujarnya sambil menahan air mata.

Nurul Alhana berkata, anak keempatnya, Dinie Nasuha juga dikenali sebagai seorang anak yang baik dan ringan tulang.

“Dia memang banyak membantu. Semua orang tahu dia budak yang baik, tidak pernah menyusahkan orang, cuma agak pendiam,” katanya.

Walaupun reda dengan ketentuan Ilahi, kehilangan dua insan kesayangan itu merupakan ujian yang amat berat buat dirinya.

“Saya bersyukur dan reda. Allah mengambil mereka pada hari yang mulia, hari Jumaat. Mereka berbakti hingga akhir hayat,” katanya lagi.