Terbuka Hong Kong: Wei Chong-Kai Wun mara ke pusingan kedua dalam tempoh 25 minit

18 Nov 2026 • 6:37 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Terbuka Hong Kong: Wei Chong-Kai Wun mara ke pusingan kedua dalam tempoh 25 minit
Wei Chong-Kai Wun mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong 2026 di Grand Hall - Kai Tak Arena, Kai Tak Sports Park hari ini. Foto fail Bernama

BEREGU lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun hanya mengambil masa 25 minit untuk mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong 2026 di Grand Hall - Kai Tak Arena, Kai Tak Sports Park hari ini.

Pasangan negara yang menduduki ranking kesembilan dunia itu mempamerkan aksi cemerlang apabila menewaskan beregu kedudukan ke-27 dunia dari Thailand Peeratchai Sukphun-Pakpakkapon Teeraratsakul 21-10, 21-14.

Ia adalah kemenangan ketiga berturut-turut Wei Chong-Kai Wun ke atas pasangan Thailand itu, sekali gus menyaksikan mereka bakal berdepan sama ada pasangan Taiwan Zhi-Wei He-Huang Jui-Hsuan atau beregu India Hariharan Amsakarunan-M.R. Arjun pada pusingan kedua.

Sementara itu, beregu lelaki berpengalaman negara Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong melepasi halangan pertama selepas menewaskan pasangan Jepun Haruki Kawabe-Kenta Matsukawa menerusi pertarungan sengit 21-16, 17-21, 21-19.

Beregu negara itu bagaimanapun berdepan cabaran getir pada pusingan seterusnya apabila dijadualkan bertemu pasangan India Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty selepas tewas dalam ketiga-tiga pertemuan terdahulu menentang pasangan berkenaan.

Dalam acara beregu campuran, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing terpaksa bekerja keras untuk melepasi halangan pertama apabila menewaskan pasangan Indonesia Marwan Faza-Aisyah Salsabila Putri Pranata 21-14, 22-24, 21-13 untuk mengatur pertemuan menentang pilihan kedua kejohanan dari China Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin pada pusingan seterusnya.

Dalam acara perseorangan lelaki pula, Cheam June Wei tewas kepada pemain Denmark Anders Antonsen 15-21, 14-21, sekali gus menyaksikan Antonsen mencatatkan kemenangan kedua berturut-turut ke atas pemain negara itu.

Sementara itu, beregu lelaki negara yang sedang meningkat naik Aaron Tai-Yap Roy King menewaskan pasangan Taiwan Hsiang Chieh Chiu-Wang Chi-Lin 21-17, 21-14.

Kemenangan itu adalah yang kedua berturut-turut Aaron-Roy King ke atas pasangan Taiwan berkenaan, sekali gus mengatur pertemuan sulung mereka menentang beregu Indonesia Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin pada pusingan seterusnya. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved