
Terbuka Jepun 2024: Saya Dah Cuba Yang Terbaik – Lee Zii Jia
Pemain badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia mengatakan beliau telah cuba yang terbaik dan berjuang sepanjang perlawanan menentang Alex Lanier dari Perancis semasa kejohanan Terbuka Jepun 2024, semalam.
Jelasnya, meskipun telah cuba yang terbaik namun faktor fizikalnya yang tidak mengizinkan membuatkan dirinya tewas kepada pemain dari Perancis itu sekaligus terkeluar daripada kejohanan itu.
Menjelaskan lebih lanjut, Zii Jia berkata beliau masih berasa lemah selepas pulang daripada Sukan Olimpik.
Bagaimanapun, pemain berusia 26 tahun itu menegaskan ia bukanlah sebab untuknya ponteng mana-mana kejohanan.
“Saya berasa lemah secara fizikal untuk beberapa hari ini sejak pulang dari Sukan Olimpik, tetapi ponteng kejohanan tidak ada dalam rancangan selagi ia tidak akan membahayakan saya.
“Saya dah cuba yang terbaik dan berjuang sepanjang perlawanan tetapi badan tidak membenarkan saya beraksi sebaik mungkin mengikut kemampuan saya,” tulisnya dalam hantaran itu.
Semalam, SK melaporkan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 dan pemain pilihan keenam kejohanan itu, gagal mengulangi prestasi baiknya dan tewas kepada pemain ke-29 dunia itu.
Zii Jia tewas 18-21, 13-21 dalam masa 41 minit pada kejohanan Super 750 di Arena Yokohama.

Sebelum ini, atlet dari utara tanah air itu mencuri perhatian ramai apabila melakukan penampilan ‘catwalk’ di ruang sebuah pusat membeli-belah baru-baru ini.
Dalam video ringkas yang dikongsikan di media sosial, Zii Jia mengenakan jaket berwarna biru putih, berkaca mata hitam dan seluar pendek, tak ubah seperti ‘Oppa’.
Lebih mencuri perhatian, dia turut membawa bersama pingat yang dimenanginya itu termasuk memberi peluang kepada peminat untuk menyentuhnya.
Pemain berusia 26 tahun ini meraih pingat tersebut selepas menewaskan Lakshya Sen dari India dalam aksi di Porte de La Chapelle.
Zii Jia berjaya mengatasi Lakshya Sen dalam perlawanan tiga set dengan keputusan 13-21, 21-16 dan 21-11.
Kemenangan ini turut merapatkan jurang pertemuan antara Zii Jia dan Sen, menjadikannya 2-4.
Zii Jia telah memberikan segalanya demi Malaysia walaupun terpaksa menerima pelbagai kritikan dari luar gelanggang.
Pencapaian itu menjadikan Zii Jia sebagai pemain perseorangan ketiga dari Malaysia yang memenangi pingat di Sukan Olimpik.
Sumber: Instagram Story Lee Zii Jia
BACA JUGA: Pancing Zii Jia Nasi Lemak & Teh ‘O’ Ais, Hairul Azreen Dapat Hadiah Bulu Tangkis & Raket
The post Terbuka Jepun 2024: Saya Dah Cuba Yang Terbaik – Lee Zii Jia appeared first on Siakap Keli.

