
HASRAT peminat badminton negara untuk melihat wakil Malaysia beraksi di pentas final Terbuka Singapura tidak kesampaian selepas beregu campuran profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Lai tewas kepada pasangan Thailand sebentar tadi.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Tertutup Singapura itu, gandingan yang kini berada di ranking ke-15 dunia itu akur tumpas kepada Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dalam perlawanan rubber set, 21-17,16-21, 22-20 yang berlangsung selama satu jam lima minit.
Meskipun tewas pada pertarungan terbabit, pujian harus diberikan kepada beregu campuran negara itu kerana berjaya menampilkan aksi yang mantap sehingga mampu membawa perlawanan itu ke set penentuan.
Sebelum itu, Soon Huat-Shevon berjaya menamatkan badi kekalahan di tangan pasangan Hong Kong, Tan Chun Man-Tse Ying Suet selepas menyingkirkan lawannya itu di suku akhir Terbuka Singapura pada Jumaat.

