Terdengar Bunyi Tangisan, Penoreh Getah Kongsi Detik Jumpa Kanak-kanak 1 Tahun Yang Hilang

23 Nov 2026 • 7:17 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Terdengar Bunyi Tangisan, Penoreh Getah Kongsi Detik Jumpa Kanak-kanak 1 Tahun Yang Hilang

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sebelum ini media ada melaporkan mengenai seorang kanak-kanak lelaki berusia satu tahun lapan bulan yang hilang semasa bermain di halaman rumahnya pada jam 4 petang, semalam (22 November) di Kampung Bechah Salak di Kuala Krai, Kelantan.

Sewaktu insiden, ibu kanak-kanak berkenaan sedang tidur di dalam rumah dan anak kecil itu diawasi oleh wanita dewasa yang merupakan ibu saudaranya sebelum terlelap sekitar 15 minit.

Kanak-kanak itu kemudiannya berjaya ditemui oleh seorang penoreh getah dalam keadaan selamat di kawasan semak dalam kebun getah berbukit di Kampung Bechak Salak pada jam 10.20 pagi, lapor Sinar Harian.

Penoreh getah kongsi detik jumpa kanak-kanak hilang 18 jam

Terbaharu penoreh getah dikenali sebagai Mohamed Fadhli Sudin yang menemuinya berkongsi dia pada awalnya terdengar bunyi tangisan.

Tangisan itu kemudian mendorong, lelaki berusia 41 tahun itu untuk mencari arah suara tersebut sebelum menemui seorang bayi dalam keadaan hanya memakai lampin pakai buang.

Jelasnya kanak-kanak tersebut dilihat dalam keadaan lemah dan letih di dalam hutan.

Segera dekati bayi dan bawa keluar dari kawasan hutan kepada pasukan penyelamat

“Saya dengar tangisan sebelum terkejut lihat bayi yang hanya memakai lampin pakai buang dalam keadaan lemah dan keletihan di hutan.

“Saya berusaha menjejaki arah suara itu sebelum terkejut apabila menemukan bayi itu.

“Sebaik menemukannya, saya segera mendekati dan membawanya keluar dari kawasan hutan dan kepada pasukan penyelamat,” jelasnya, lapor Harian Metro.

Kanak-kanak berkenaan dilaporkan ditemui sekitar satu kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Dengar suara tangisan ketika berehat daripada menebas semak

Menurut penoreh getah tersebut, dia tidak sangka menemui bayi terbabit di lokasi berkenaan memandangkan tiada sebarang suara mahupun petunjuk ditemukan semasa mula masuk ke kawasan hutan itu.

“Saya tahu mengetahui mengenai kehilangan kanak-kanak itu dan turut serta dalam usaha mencarinya sebelum ini.

“Namun saya tidak menyangka tangisan yang didengari ketika berehat selepas menebas semak membawa kepada penemuan mangsa.”

Keluarga turut buat pencarian sebaik sedari anak bongsu dari dua beradik itu hilang

Sebelum ini Sinar Harian, melaporkan bayi itu disedari hilang oleh ibunya selepas wanita itu terjaga dari tidurnya.

Jelas Komander Operasi Balai Bomba Kuala Krai, Pegawai Bomba Kanan 1, Mohd Khairul Duha Abdul Halim keluarga kanak-kanak berkenaan turut membuat pencarian apabila menyedari kehilangannya.

Turut cari di kolam ikan yang terletak sekitar 50 meter dari kawasan rumah

Mereka turut mencari di kawasan kolam ikan berhampiran dengan kediaman yang terletak sekitar 50 meter dari rumah.

Menurut beliau, terdapat dua kolam ikan di kawasan berkenaan namun salah satunya berpagar.

“Pencarian sudah dilakukan di kolam ikan berkenaan dengan satu kolam yang sedalam kira-kira tiga meter itu sudah dikeringkan.”

Bomba terima panggilan kecemasan pada jam 6.37 petang

Beliau turut memaklumkan Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan keceman berhubung kehilangan kanak-kanak berkenaan pada jam 6.37 petang.

Berdasarkan maklum balas daripada keluarga, pergerakan Muhammad Irsyad Hakim yang juga anak bongsu daripada dua beradik tersebut masih perlahan.

Selain kolam ikan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut dilakukan di kawasan rumah kanak-kanak tersebuts termasuklah hutan berdekatan.

Dijumpai sekitar 1 kilometer dari kawasan bayi berkenaan dipercayai hilang

Muhammad Irsyad Hakim kemudiannya ditemui dalam keadaan selamat sekitar satu kilometer dari lokasi dia dipercayai hilang.

Jelas Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Durian, Pegawai Bomba Tinggi II Zulhilmi Baharudin SAR mencari anak kecil pada hari kedua itu membabitkan sekitar 32 anggota daripada pelbagai agensi dan turut dibantu unit K9.

Unit K9 itu terdiri daripada tiga anggota serta seekor anjing pengesan untuk mengesan keberadaan kanak-kanak berkenaan.

“Radius pencarian pada hari kedua memfokuskan kawasan sekitar 500 hingga 600 meter dari rumah mangsa.

“Bagaimanapun, mangsa ditemukan dalam keadaan selamat di kawasan yang lebih jauh, iaitu lebih satu kilometeri dari lokasi dia dilaporkan hilang.”

Ada kesan darah pada kaki dipercayai digigit pacat dan kesan gigitan nyamuk di belakang badan

Turut dilaporkan sewaktu dibawa keluar, terdapat sedikit kesan darah pada kaki kanak-kanak terbabit.

Kesan itu dipercayai kerana gigitan pacat. Selain itu terdapat juga kesan gigitan nyamuk pada bahagian belakang badannya.

Ibu bapa Muhammad Irsyad Hakim tak tidur kerana bimbang keadaan anak

Ibu bapa kepada kanak-kanak itu turut memaklumkan mereka tidak dapat tidur akibat bimbang akan keadaan anak kecil yang bersendirian dalam hutan dengan hanya memakai lampin pakai buang.

“Saya dan isteri berjaga sepanjang malam kerana terlalu bimbang memikirkan keadaan anak kami yang masih kecil berada bersendirian di dalam hutan dengan hanya memakai lampin pakai buang,” kata bapa mangsa, Mohammad Khairul Najmi Mohd Rosli, 26.

Ujar Mohammad Khairul Najmi dia dan isterinya, Nur Fatihah Che Mohd Zaki, 24, berasa lega apabila menerima perkhabaran mengenai anaknya ditemukan dalam keadaan selamat.

“Apabila menerima perkhabaran Angah (panggilan kepada Muhammad Irsyad Hakim)  ditemukan selamat, kami sekeluarga sangat bersyukur dan lega kerana penantian serta kebimbangan sejak semalam akhirnya berakhir.

“Saya amat berterima kasih kepada semua pasukan mencari dan menyelamat serta penduduk kampung yang tidak berputus asa dan berusaha keras mencari anak saya sehingga dia ditemukan dalam keadaan selamat,” ujarnya lagi, lapor Harian Metro.

Bapa anak kecil itu turut memaklumkan dia segera pulang ke kampung daripada bekerja sebagai pemandu lori sebaik isteri memberitahu berhubung kehilangan anaknya itu.

Katanya, dia sampa ke kampung sekitar jam 12 tengah malam tadi.

“Isteri saya bersama anak-anak tiba di kampung kira-kira jam 1 tengah hari selepas bertolak dari rumah kami di Jengka, Pahang untuk bercuti selama seminggu dan langsung tidak menyangka kejadian itu berlaku pada hari sama mereka tiba di kampung.”

Ibu imbas detik ketika anak bongsu hilang

Nur Fatihah turut mengimbas detik sewaktu anak bongsunya hilang, ujarnya awalnya anak kecilnya itu enggan tidur sebaik dimandikan serta mahu terus bermain di luar rumah, manakala anak sulung mereka berada di dalam rumah.

“Ketika Angah keluar bermain di luar rumah, dia ditemani ibu saudaranya yang turut berada di luar, namun tiba-tiba terlelap.

“Pada ketika itu, saya masuk ke dalam rumah dan berbaring sebentar sebelum turut terlelap kurang daripada 10 minit. Sebaik tersedar dan keluar semula, saya mendapati Angah tiada,” ujarnya lagi.

Cari anak bongsu sekitar dua jam sebelum buat laporan polis

Jelas Nur Fatihah dia segera mencari anaknya itu di sekitar kawasan rumah selama sekitar dua jam sebelum membuat laporan polis selepas gagal menemukan Muhammad Irsyad Hakim.

“Tempoh pencarian yang dilalui ketika itu amat mencemaskan, lebih-lebih lagi apabila pelbagai usaha dilakukan untuk mengesan keberadaan anak saya namun tidak menemui sebarang petunjuk.

“Alhamdulillah, anak saya akhirnya berjaya ditemui dalam keadaan selamat. Saya amat bersyukur dan lega.”

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved