KUALA KRAI – Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun lapan bulan masih dipercayai hilang di Kampung Bechah Salak di sini pada petang Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan kanak-kanak itu pada jam 6.37 petang.
Menurutnya, seramai sembilan anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian dan tiba tujuh minit kemudian dengan jarak perjalanan kira-kira 10 kilometer dari balai.
**media[3719290]**
Pasukan kemudian melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sekitar kediaman mangsa, kolam serta kawasan hutan berhampiran bagi mengesan keberadaan kanak-kanak berkenaan.
“Operasi turut dibantu anggota polis serta orang awam bagi meluaskan pencarian.
**media[3719291]**
“Keadaan cuaca yang semakin gelap turut menjadi cabaran kepada pasukan penyelamat,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata, operasi SAR masih berlangsung dan kanak-kanak itu belum ditemukan setakat ini.






