KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu bakal melantik seorang wakil dalam kalangan bukan Islam daripada Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan dalam masa terdekat.
Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika berucap sempena kunjungan ke Bilik Gerakan PN DUN Ayer Keroh, Melaka pada Ahad.
Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, langkah berkenaan dibuat selaras dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Terengganu yang mempunyai peruntukan khusus bagi melantik mana-mana pihak, kaum mahupun jantina yang tidak mempunyai perwakilan di dalam dewan.
"Maka, ada peruntukan untuk dilantik, dan kita telah buat keputusan setelah menimbang pelbagai perkara serta telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), untuk kita melantik seorang wakil Cina daripada Parti Gerakan sebagai ADUN lantikan.
"Ini merupakan satu berita yang baik untuk semua, dan ini merupakan komitmen kita bersama untuk memastikan kewujudan wakil bagi warga, kaum, dan komuniti Cina yang ada di negeri Terengganu," katanya memetik ucapan daripada video berdurasi satu minit 25 saat yang dikongsikan kepada Sinar Harian pada Ahad.
Difahamkan, proses lantikan tersebut dijangka dijalankan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadual pada 16 hingga 18 November ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, peranan wakil tersebut tidak hanya terhad kepada komuniti Cina, sebaliknya turut ditugaskan untuk mendekati kaum-kaum lain.
Jelas beliau, peranan itu bertepatan dengan kedudukan Parti Gerakan sebagai sebuah parti berbilang kaum, sekali gus membolehkan mereka sama-sama memberi khidmat serta menjalankan tugas dengan terbaik.
"Inilah apa yang saya mahu sebut pada hari ini, satu perkara yang sangat baharu, yang saya belum sebut lagi di mana-mana, dan saya sebut di sini," ujarnya.
Kunjungan berkenaan turut dihadiri Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, barisan pemimpin parti serta jentera akar umbi bagi memberikan sokongan dan semangat kepada calon PN DUN Ayer Keroh, Michael Gan.
Sementara itu, Dominic dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya turut menzahirkan penghargaan atas kehadiran Ahmad Samsuri yang berkongsi pandangan mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
"Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih saya ucapkan kepada Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kerana sudi turun padang sendiri ke Ayer Keroh untuk memberikan sokongan dan kata-kata semangat kepada calon serta seluruh jentera pilihan raya," jelasnya.
Pada PRN Melaka ke-16, PN bertanding di tujuh kerusi di mana dua kerusi diwakili calon Pas, manakala baki lima kerusi ditandingi wakil Gerakan dan Wawasan.

