
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu diterajui Pas bakal melantik seorang wakil masyarakat Cina daripada Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan dalam masa terdekat.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan itu mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) selepas mengambil kira pelbagai aspek termasuk keperluan memastikan golongan yang tidak mempunyai perwakilan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) diberikan suara.
Beliau berkata, pelantikan berkenaan dibuat berdasarkan peruntukan dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Terengganu yang membolehkan wakil daripada kaum, jantina atau golongan tertentu yang tidak mempunyai perwakilan dilantik sebagai ADUN.
Menurutnya, langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan masyarakat Cina di Terengganu turut mempunyai wakil yang dapat membawa suara serta menyampaikan kepentingan komuniti berkenaan dalam DUN.
“Maka, ada peruntukan untuk dilantik dan kita telah membuat keputusan selepas menimbang pelbagai perkara serta mendapat kelulusan MMKN untuk melantik seorang wakil Cina daripada Parti Gerakan sebagai ADUN lantikan.
“Ini adalah satu berita yang baik untuk semua dan komitmen kita bersama bagi memastikan kewujudan wakil untuk warga, kaum serta komuniti Cina yang ada di negeri Terengganu,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengumumkan perkara itu ketika berucap sempena kunjungan ke Bilik Gerakan PN DUN Ayer Keroh, Melaka, semalam.
Pengumuman itu dibuat menerusi ucapan dalam video berdurasi satu minit 25 saat.
Difahamkan, proses pelantikan berkenaan dijangka dilaksanakan pada Persidangan DUN Terengganu akan datang yang dijadual berlangsung dari 16 hingga 18 November ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, tanggungjawab wakil lantikan itu bukan hanya tertumpu kepada masyarakat Cina, sebaliknya turut merangkumi usaha mendekati dan berkhidmat kepada kaum lain di negeri ini.
Menurutnya, perkara itu bersesuaian dengan kedudukan Gerakan sebagai sebuah parti politik berbilang kaum yang mempunyai keupayaan untuk mewakili kepentingan masyarakat pelbagai latar belakang.
“Inilah perkara yang saya mahu sebut pada hari ini, satu perkara yang sangat baharu dan saya belum sebut lagi di mana-mana sebelum ini,” katanya.
Kunjungan Ahmad Samsuri ke Bilik Gerakan PN DUN Ayer Keroh itu turut dihadiri Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai, barisan kepimpinan parti serta jentera akar umbi bagi memberikan sokongan kepada calon PN, Michael Gan, yang bertanding di kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Sementara itu, Dominic menerusi hantaran di Facebook miliknya menzahirkan penghargaan atas kesudian Ahmad Samsuri hadir memberikan sokongan serta berkongsi pandangan berhubung persiapan menghadapi PRN Melaka.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih saya ucapkan kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar kerana sudi turun padang sendiri ke Ayer Keroh untuk memberikan sokongan dan kata-kata semangat kepada calon serta seluruh jentera pilihan raya,” katanya.
Pada PRN Melaka ke-16, PN bertanding di tujuh kerusi dengan dua daripadanya ditandingi calon Pas manakala baki lima kerusi diwakili calon Gerakan dan Wawasan. – UTUSAN
The post Terengganu lantik wakil Gerakan jadi ADUN lantikan appeared first on Utusan Malaysia.





