Zetrix AI perkenal model bahasa besar Syariah pertama di dunia

LocalTechnology
12 Aug 2025 • 4:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Zetrix AI perkenal model bahasa besar Syariah pertama di dunia

image is not available

12/08/2025 - 16:10

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) menerima cenderahati selepas merasmikan NurAI di Kuala Lumpur hari ini Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Ogos – Zetrix AI Berhad mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju teknologi dengan pelancaran NurAI, model bahasa besar (LLM) syariah yang pertama di dunia.

Ia direka khas untuk memenuhi keperluan dua bilion umat Islam global dengan menawarkan panduan yang selaras Syariah dalam pelbagai bidang seperti perundangan, kewangan Islam, penjagaan kesihatan, sejarah dan pengajian al-Quran.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, NurAI adalah satu hasil inovasi yang menjadi contoh terbaik dalam menggabungkan keperluan agama dan teknologi demi kemaslahatan umat dan kemajuan negara.

“Saya berharap semua pihak dari kerajaan, swasta, institusi kewangan dan badan agama agar memberi sokongan penuh kepada pembangunan dan pengembangan teknologi seperti NurAI,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis pelancaran NurAI sempena Sidang Kemuncak AI ASEAN Malaysia 2025 di sini hari ini.

image is not available

NurAI membawakan pendekatan baharu yang menggabungkan teknologi AI dengan nilai Islam dari sudut pandangan dan perspektif Global Selatan.

Salah satu ciri utama NurAI ialah saluran AI Avatar yang membolehkan interaksi pengguna dengan avatar pakar dalam pelbagai bidang seperti ulama dan pakar kewangan Islam.

Pasukan Zetrix AI merancang untuk memperkenalkan saluran kewangan Islam bersama Universiti INCEIF dan ulama terkemuka dunia bagi memperkukuh lagi kepakaran platform itu.

Ia dibangunkan dengan pematuhan Syariah yang tinggi melalui bimbingan Lembaga Penasihat Syariah melibatkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Ulama Indonesia, Akademi Fiqh Islam Antarabangsa dan Universiti Al-Azhar, Mesir.

Sementara itu, Pengarah Zetrix AI, Datuk Mohd Jimmy Wong berkata, strategi pelaksanaan NurAI bermula dengan aplikasi secara percuma untuk pengguna awam di Malaysia dan Indonesia, diikuti fasa integrasi institusi kewangan Islam, fintech dan agensi pensijilan halal.

“Sistem AI sedia ada yang dibangunkan terutamanya di Barat dan China mungkin tidak mencerminkan perspektif Islam sepenuhnya.

“Keadaan ini mewujudkan jurang ketara bagi dua bilion umat Islam, ekonomi Islam yang bernilai USD3 trilion, serta negara-negara Global Selatan, yang mencari teknologi AI yang selaras dengan nilai budaya, prinsip agama dan keutamaan pembangunan mereka.

“NurAI memenuhi keperluan ini dengan menawarkan alternatif AI yang selaras dengan Syariah untuk pasaran yang kurang diberi perhatian oleh platform sedia ada,” katanya.

NurAI boleh diakses dalam Bahasa Melayu, Indonesia, Arab dan Inggeris melalui platform desktop dan mudah alih di https://nur-ai.ai. ;- DagangNews.com

standard