Terengganu catat sifar miskin tegar - JPP

LocalPolitics
5 Mar 2026 • 4:32 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kerajaan Persekutuan sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi dan kerajaan negeri bagi memastikan pelbagai program dapat dilaksanakan untuk mengurangkan kadar miskin tegar di Terengganu. Foto hiasan

JERTIH - Usaha Kerajaan Madani menoktahkan kemiskinan tegar di Terengganu mencapai kejayaan apabila negeri tersebut berjaya mencatatkan sifar miskin tegar pada Februari lepas.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Negeri Terengganu, Datuk Abdul Kahar Abdul Latif berkata, kesemua 1,663 keluarga yang sebelum ini tersenarai dalam Bank Data Kemiskinan Nasional (eKasih) kategori miskin tegar telah terkeluar dalam kategori tersebut menerusi penilaian Paras Garis Kemiskinan (PGK) yang dilaksanakan bermula akhir tahun lepas.

"Sekarang di Terengganu cuma ada kategori miskin seramai 30,000 ketua isi rumah (KIR) dan kita sedang berusaha mengurangkan bilangan dalam kategori ini.

"Sasaran kita untuk mengurangkan bilangan miskin sebanyak 30 peratus atau 9,000 keluarga daripada jumlah keseluruhan itu dalam tempoh enam bulan tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Ziarah Kasih Ramadan (Zikir) 2026 di Dewan Sivik Jabi, di sini, pada Khamis.

Abdul Kahar berkata, pelbagai usaha akan dan telah dilaksanakan Kerajaan Persekutuan dalam usaha untuk memastikan sasaran tersebut mencapai matlamat.

Selain itu, katanya, Kerajaan Persekutuan juga sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi dan kerajaan negeri bagi memastikan pelbagai program dapat dilaksanakan untuk mengurangkan kadar miskin tegar di Terengganu.

"Kita dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan persekutuan dan negeri berusaha menyediakan keperluan sebenar keluarga terbabit seperti mengadakan program meningkatkan pendapatan yang diadakan dari masa ke semasa dengan memberi fokus kepada anak-anak mereka.

"Ini termasuk menumpukan kepada aspek pendidikan, kursus jangka pendek yang dapat membantu keluarga keluar daripada kategori miskin,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Persekutuan membelanjakan hampir RM1 juta bagi membantu lebih 1,000 keluarga miskin di negeri ini melalui program eKasih termasuk prorgam Zikir pada bulan Ramadan. - Bernama