Terengganu dakwa RM2.25 bilion royalti minyak tidak disalurkan sepenuhnya ke akaun negeri sejak 2023

LocalPolitics
23 Apr 2026 • 1:13 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Terengganu dakwa RM2.25 bilion royalti minyak tidak disalurkan sepenuhnya ke akaun negeri sejak 2023 Image from: Terengganu dakwa RM2.25 bilion royalti minyak tidak disalurkan sepenuhnya ke akaun negeri sejak 2023 liza23/04/2026 - 13:13 DUN Terengganu - Gambar Facebook Menteri Besar Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA TERENGGANU 23 April – Kerajaan Negeri Terengganu mendakwa sebahagian besar hasil royalti petroleum tidak disalurkan sepenuhnya ke akaun negeri sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan jumlah kumulatif dianggarkan sekitar RM2.25 bilion.

 

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata bagi tahun 2025, jumlah keseluruhan hasil negeri Terengganu adalah RM1.92 bilion, melibatkan hasil cukai iaitu RM104.9 juta, hasil bukan cukai (RM282.3 juta), terimaan bukan hasil pula RM1.54 bilion (termasuk komponen besar royalti petroleum).

 

Beliau berkata, daripada jumlah royalti petroleum sebanyak RM1.37 bilion pada tahun 2025, hanya RM659 juta disalurkan terus ke akaun Kerajaan Negeri. 

 

“Selebihnya, iaitu RM713 juta atau 52% tidak disalurkan secara langsung kepada negeri,” katanya dalam ucapan penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini.

 

Situasi itu bukan pertama kali berlaku, apabila pada tahun 2023 dan 2024 turut mencatat corak sama, dengan perbezaan jumlah penyaluran royalti yang ketara berbanding jumlah keseluruhan yang direkodkan. 

 

Ahmad Samsuri berkata, pada 2023, hanya RM802 juta disalurkan daripada RM1.52 bilion, manakala pada 2024 hanya RM733 juta disalurkan daripada RM1.55 bilion.

 

Secara kumulatif, kerajaan negeri menganggarkan sekitar RM2.25 bilion hasil royalti tidak disalurkan terus ke akaun negeri dalam tempoh tersebut.

 

Beliau berkata situasi itu memberi tekanan kepada kedudukan fiskal Terengganu dan mengehadkan keupayaan perancangan pembangunan serta bantuan rakyat.

 

“Walaupun kerajaan negeri berhadapan dengan pelbagai tekanan yang bolehlah kita katakan sebagai “paksa – rela” dan kaedah pembayaran yang ajaib berbanding dengan negeri yang sama parti antara Negeri dan Persekutuan, Alhamdulillah, dari sudut yang lain, kita telah berjaya meningkatkan hasil janaan Kerajaan Negeri kepada RM 454.69 juta untuk tahun 2025 berbanding RM 267.77 juta pada tahun 2024. 

 

“Angka ini merupakan satu sejarah baharu di Negeri Terengganu. Sebelum ini capaian hasil negeri tidak pernah mencapai angka RM 300 juta. 

 

“Saya mengambil kesempatan hari ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang bersama-sama berusaha untuk meningkatkan hasil negeri Terengganu sekaligus merealisasikan sebahagian Pelan Penjanaan Pendapatan Baharu (New Income Terengganu) yang kita sasarkan hasil negeri sebanyak RM 500 juta menjelang tahun 2030,” katanya. - DagangNews.com

Terkini featured standard