liza13/05/2026 - 14:26 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Mei – Kerajaan negeri Terengganu melonggarkan syarat Skim Pinjaman Pembelian Motosikal di bawah Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dengan tidak lagi mewajibkan pemohon memiliki lesen perniagaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Langkah itu dilihat mampu membuka peluang kepada lebih ramai rakyat terutama golongan belia dan B40 mendapatkan kemudahan pembiayaan bagi memiliki motosikal untuk tujuan pekerjaan dan menjana pendapatan.
Selain itu, skim berkenaan kini diperluaskan kepada semua sektor pekerjaan dan tidak lagi tertumpu kepada pekerja ekonomi gig semata-mata seperti sebelum ini.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Ariffin Deraman berkata, penambahbaikan tersebut dibuat bagi memudahkan rakyat mendapatkan akses kepada kemudahan berkenaan.
Menurut beliau, syarat baharu itu memberi ruang kepada individu yang bekerja sendiri, pekerja am, penjaja kecil serta mereka yang memerlukan motosikal sebagai pengangkutan harian untuk turut memohon skim terbabit.
“Pemohon juga boleh terus berurusan dengan YPU tanpa perlu melalui pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.


Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Himpunan Pemandu dan Driver E-Hailing di Dewan Sivik Bukit Payung di Marang.
Skim berkonsep qardul hasan itu menawarkan pinjaman tanpa faedah, caj keuntungan atau unsur riba kepada penerima yang layak.
Menerusi skim tersebut, jumlah bayaran balik adalah sama dengan nilai pinjaman yang diterima pemohon berdasarkan tempoh pembayaran yang dipersetujui.
Ariffin berkata, kerajaan negeri memperuntukkan kuota lima penerima bagi setiap DUN melibatkan keseluruhan 32 DUN di Terengganu.
Katanya, skim berkenaan terbuka kepada rakyat Terengganu berusia antara 18 hingga 40 tahun yang memenuhi syarat ditetapkan.
Antara syarat lain termasuk pemohon mestilah Bumiputera, telah menetap di Terengganu lebih 10 tahun serta berdaftar sebagai pemilih di negeri itu.
Pemohon juga perlu memiliki lesen memandu B1, mempunyai akaun bank aktif selain menyediakan seorang penjamin yang tidak disenarai hitam.
Dalam pada itu, tempoh bayaran balik pinjaman turut dipanjangkan sehingga empat tahun dengan anggaran ansuran bulanan melebihi RM100 sebulan.
Menurut Ariffin, skim itu turut membenarkan pembelian motosikal terpakai, namun jumlah maksimum pembiayaan yang ditawarkan kekal RM5,000 dan sebarang lebihan harga perlu ditanggung sendiri oleh pemohon. - DagangNews.com
