Terengganu pelawa Singapura melabur dalam sektor tenaga hijau hasil pertemuan dengan Lee Hsien Loong

LocalBusiness & Finance
7 May 2026 • 4:38 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Terengganu pelawa Singapura melabur dalam sektor tenaga hijau hasil pertemuan dengan Lee Hsien Loong Image from: Terengganu pelawa Singapura melabur dalam sektor tenaga hijau hasil pertemuan dengan Lee Hsien Loong liza07/05/2026 - 16:38 Ahmad Samsuri (kiri) dan Lee Hsien Loong (kanan) membincangkan pelaburan dua hala dalam pertemuan di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu - Gambar Media MB Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 7 Mei – Terengganu terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara negeri berpotensi tinggi dalam pelaburan tenaga hijau dan pembangunan mampan apabila menerima kunjungan delegasi tinggi Singapura yang membuka ruang perbincangan strategik melibatkan tenaga baharu, pelaburan serta kerjasama ekonomi serantau.

 

Kerajaan Negeri Terengganu menerima kunjungan hormat Menteri Kanan yang juga bekas Perdana Menteri, Lee Hsien Loong dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala serta meneroka potensi kerjasama dalam sektor strategik antara kedua-dua pihak.

 

Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pertemuan di Wisma Darul Iman itu tertumpu kepada pembangunan mampan di bawah Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030) serta peluang pelaburan masa hadapan.

 

“Antara perkara utama yang dibentangkan ialah potensi pembangunan tenaga boleh baharu di negeri ini termasuk Projek Solar Terapung Hidro Hibrid (HHFS) di Tasik Kenyir dengan sasaran kapasiti 2.5 gigawatt.

 

“Dalam masa sama, kerajaan negeri turut memperkenalkan ekosistem industri seperti Lembah Silika Terengganu yang sedang dibangunkan sebagai hab industri berasaskan mineral silika, selain menekankan potensi rantaian nilai untuk menarik pelaburan berteknologi tinggi ke negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Dari aspek logistik, perbincangan turut menyentuh projek strategik seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang sedang dalam pembinaan serta peranan Pelabuhan Kemaman dalam memperkukuh keupayaan perdagangan dan rangkaian logistik Pantai Timur, yang dijangka memberi impak jangka panjang kepada ekonomi negeri.

 

Sektor pelancongan turut menjadi antara fokus kerjasama, dengan Singapura kekal sebagai antara pasaran utama pelancong asing ke Malaysia, sekali gus membuka ruang untuk promosi lebih agresif destinasi pelancongan Terengganu.

 

Dalam sesi lawatan kerja, delegasi Singapura turut dibawa ke Pasar Besar Kedai Payang bagi melihat aktiviti ekonomi tempatan serta ke Jambatan Angkat Kuala Terengganu sebagai antara ikon pelancongan moden negeri.

 

Ahmad Samsuri berkata pertemuan itu lebih bersifat penerokaan awal dan pertukaran pandangan, tanpa sebarang pengumuman perjanjian rasmi setakat ini, namun membuka ruang kepada kerjasama lanjut dalam bidang tenaga, pelaburan dan ekonomi digital pada masa hadapan.

 

Ketika ini, Terengganu memanfaatkan sekitar 2% daripada keluasan Tasik Kenyir bagi projek solar terapung yang menjana kira-kira 595MW tenaga untuk permulaan.

 

Projek solar terapung terbesar di Asia Tenggara itu dirancang dalam tiga fasa utama dengan kapasiti keseluruhan sekitar 2.5GW yang dijangka direalisasikan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang dengan nilai pelaburan RM10 bilion.

 

Projek strategik itu dilaksanakan menerusi konsortium yang diterajui Terengganu Inc bersama TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB GENCO) yang menganugerahkan kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) kepada konsortium diterajui Cypark Resources Berhad. - DagangNews.com

Terkini featured standard
View Original Article