Terengganu Inc kurangkan pergantungan kelapa sawit, fokus minyak dan gas, kesihatan serta tenaga diperbaharui

LocalBusiness & Finance
22 Sep 2025 • 8:48 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Terengganu Inc kurangkan pergantungan kelapa sawit, fokus minyak dan gas, kesihatan serta tenaga diperbaharui

image is not available

22/09/2025 - 08:48

Pejabat Terengganu Inc di Chendering Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

BEBERAPA tahun lalu, Terengganu Incorporated masih dianggap sebuah konglomerat pelaburan negeri yang banyak bergantung kepada sektor perladangan.

Antara 40 hingga 50 peratus hasil kumpulannya datang daripada sawit, menjadikannya mudah terdedah kepada turun naik harga komoditi dunia.

Kini, di bawah pimpinan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun, banyak pembaharuan strategik dilakukan dalam operasi perniagaan Terengganu Inc.

Dari sektor minyak & gas, kesihatan hinggalah tenaga boleh baharu, Terengganu Inc sedang membina asas baharu yang diyakini bakal menjadikan ia konglomerat berdaya tahan dengan pulangan mampan.

Dalam wawancara eksklusif bersama DagangNews baru-baru ini, Burhanuddin Hilmi berkongsi cabaran, strategi dan visi masa depan Terengganu Inc.

SOALAN: Datuk, selepas lima tahun di Terengganu Inc, apa keutamaan terpenting Kumpulan ketika ini?

JAWAPAN : Apabila saya mula masuk, keadaan Terengganu Inc ibarat kapal besar dengan banyak anak syarikat yang bergerak ke arah berbeza. Ada yang untung, ada yang rugi, ada yang sekadar hidup segan mati tak mahu.

Jadi keutamaan pertama saya ialah menstabilkan organisasi ini daripada dalam.

Tanpa asas kukuh, mustahil untuk melangkah lebih jauh.

Kami tumpukan pada aspek tadbir urus, proses kewangan, keberkesanan operasi serta penyusunan semula anak syarikat.

Ada pengurusan yang perlu ditukar, ada entiti yang perlu digabungkan bagi elak pertindihan. Langkah ini tidak memberi pulangan segera, malah kadang-kadang menimbulkan rasa kurang senang. Tetapi saya percaya ia penting untuk mendapatkan keyakinan pelabur dan rakan kongsi strategik.

Selepas struktur dalaman lebih mantap, barulah kami mula fikirkan arah pertumbuhan baharu. Saya lihat terlalu besar pergantungan kita pada sektor perladangan. Ya, sawit menyumbang separuh hasil kumpulan, tetapi sifat komoditi sangat tidak menentu.

Harga boleh jatuh dalam sekelip mata akibat faktor luar kawalan.

Sebab itu kita berpendirian segmen perladangan ini tidak boleh lagi jadi penyumbang utama kepada pendapatan Kumpulan.

Kita perlu cari sumber baharu. Maka saya tetapkan tiga tonggak masa depan Terengganu Inc iaitu sektor minyak & gas, kesihatan dan tenaga boleh diperbaharui (RE).

Perladangan boleh kekal sebagai antara penyumbang utama, tetapi tiga tonggak ini adalah enjin baharu. Ia bukan sahaja mempelbagaikan hasil, malah memberi kita posisi lebih relevan dalam ekonomi masa depan.

Boleh Datuk jelaskan lebih lanjut tentang hala tuju minyak & gas?.

Sebelum ini, penglibatan kita lebih tertumpu pada downstream – iaitu aktiviti hiliran seperti perkhidmatan sokongan. Tetapi saya tidak mahu Terengganu Inc hanya berhenti di situ.

Kalau serius mahu jadi pemain utama, kita mesti melangkah ke upstream, penerokaan dan pengeluaran. Di situlah nilai sebenar industri ini.

Memang ia mencabar. Kos tinggi, risikonya besar. Tetapi pulangannya jauh lebih signifikan. Malah Menteri Besar (Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar) sendiri sudah sebut tentang usaha mewujudkan TI Petroleum, sebagai peneraju negeri dalam segmen upstream.

Itu tanda sokongan jelas. Sebab itu kita sudah jalinkan kerjasama dengan Petronas. Kita mahu bukan sekadar vendor, tetapi turut serta sebagai peneroka. Bila berjaya, ia bukan sahaja memberi hasil lebih besar, malah membawa masuk teknologi dan kepakaran baharu ke negeri.

Saya akui tahun ini agak perlahan kerana PETRONAS sendiri sedang buat penstrukturan dalaman. Kontrak yang kita jangka lebih awal terpaksa ditangguhkan. Tetapi itu cabaran jangka pendek. Secara strategik, hala tuju kita tetap ke hadapan.

Yang penting, apabila Terengganu Inc sudah ada rekod di upstream, lebih banyak pintu akan terbuka. Kita akan jadi rakan kongsi pilihan, bukan sekadar pembekal. Itu visi saya untuk sektor minyak & gas.

Bagaimana pula dengan segmen penjagaan kesihatan, bagaimana peranannya dalam strategi baharu Terengganu Inc?.

Industri kesihatan adalah antara sektor paling pesat berkembang, bukan sahaja di Malaysia, malah seluruh dunia. Populasi makin bertambah, umur makin panjang, keperluan rawatan makin kompleks.

Di Terengganu Inc, kita sudah ada tapak kukuh melalui hospital yang kita miliki. Sekarang sudah ada 400 katil dengan hasil kira-kira RM350 juta.

Visi saya ialah menjadikannya pemain utama dengan kapasiti 1,000 katil dalam lima hingga enam tahun akan datang.

Kalau kita capai sasaran ini, hasil daripada segmen penjagaan kesihatan sahaja boleh mencecah RM1 bilion setahun. Itu angka yang cukup besar dan boleh berdiri sendiri sebagai entiti korporat. Malah saya bayangkan satu hari nanti, segmen ini boleh disenaraikan di pasaran saham sebagai entiti berasingan.

Kita juga sedang memperkukuh penawaran. Bukan sekadar hospital am, tetapi termasuk rawatan pakar, pusat dialisis, penjagaan warga emas dan kesihatan digital. Ini bidang yang bukan sahaja ada permintaan, tetapi juga potensi pertumbuhan berterusan.

image is not available

Baru-baru ini, Terengganu Inc dilihat semakin aktif meneroka segmen RE. Apa perancangan selepas ini?.

Inilah segmen yang paling saya teruja. Dunia sedang bergerak ke arah tenaga hijau. Malaysia sendiri ada sasaran 70 peratus kapasiti elektrik negara datang daripada sumber RE menjelang 2050. Jadi peluangnya sangat besar.

Kita sudah mulakan dengan projek ladang solar terapung di Tasik Kenyir. Mengikut perancangan, hasil yang akan diperolehi ialah sebanyak RM100 juta setahun.

Bukan itu sahaja, kita juga sedang rancang pembangunan tenaga hidrogen dengan kerjasama pihak antarabangsa yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebenarnya tumpuan utama kita di Tasik Kenyir sebab di situ ada potensi besar dengan kapasiti sehingga 2.5 GW.

Projek ini akan dilaksanakan bersama TNB Genco sebagai rakan utama, selain kerjasama dengan Petronas, Cypark dan juga ACWA Power dari Arab Saudi. Bila ACWA Power masuk, mereka dijangka melabur sekitar USD1 bilion, jadi keseluruhan nilai pelaburan di Tasik Kenyir sahaja boleh mencecah RM10 bilion.

Dari segi pelaksanaan, kita rancang projek ini dibangunkan dalam tempoh 5 hingga 10 tahun, namun ada sebahagian komponen yang boleh siap lebih awal dalam 2 hingga 3 tahun. Ia akan siap secara berfasa, melibatkan tiga fasa utama.

Fasa pertama kita sasarkan bermula tahun depan, dengan kapasiti awal sekitar 150 MW sebelum meningkat kepada 530 MW secara penuh dalam fasa pertama.

Untuk status semasa, kita bersama TNB Genco akan menganugerahkan kontrak pertama menjelang hujung tahun ini, jadi kerja-kerja boleh bermula seawal 2026. Maknanya, walaupun projek ini berskala besar, kita sudah ada laluan jelas untuk memastikan ia berjalan dengan lancar dan teratur mengikut jadual.

Selain itu, projek ini juga disokong oleh satu pakatan rasmi antara kerajaan Malaysia, kerajaan Terengganu dan kerajaan Arab Saudi, yang menjadikannya flagship bagi ACWA Power di Malaysia.

Ia bukan sekadar pelaburan, tetapi simbol kerjasama strategik antarabangsa untuk menjadikan Tasik Kenyir sebagai hab hidrogen dan solar utama di rantau ini.

Saya yakin dalam 10 tahun akan datang, RE akan jadi penyumbang utama dengan anggaran 30 peratus pendapatan Kumpulan, bukan lagi sampingan.

image is not available

Dari sudut prestasi kewangan Kumpulan, bagaimana pencapaian tahun ini?

Secara keseluruhan, kita masih berada di landasan. Sasaran tahun ini sekitar RM1.8 bilion. Walaupun ada segmen yang kurang berbanding jangkaan, segmen lain berjaya menampung.

Segmen minyak & gas agak perlahan kerana faktor kontrak PETRONAS Tetapi sumbangan perladangan masih stabil. Harga sawit memang turun naik, tetapi operasi kita lebih efisien. Penjagaan kesihatan pula sedang berkembang positif.

Segmen hotel pula dalam pemulihan. Satu hotel kita sudah kembali untung, satu lagi dijangka positif hujung tahun. Jadi bila ditolak tambah, kumpulan masih berada dalam landasan prestasi kewangan yang sihat.

Bagaimana dengan projek Pulau Poh di Tasik Kenyir yang sudah sekian lama tertangguh?

Projek Pulau Poh ini sudah lama dirancang. Ada isu teknikal dan operator, tetapi semuanya selesai.

Kita sudah pilih Tamu Hotel sebagai operator, kelulusan kerajaan negeri pun sudah ada. Operasi dijangka bermula Januari depan.

Pulau Poh bukan sekadar hotel. Ia akan jadi “destination resort” dengan tarikan menyeluruh melalui alam semula jadi, aktiviti air, rekreasi keluarga. Saya percaya ia akan jadi mercu tanda pelancongan baharu di Tasik Kenyir.

Bila beroperasi, ia bukan sahaja untung untuk Terengganu Inc, tetapi beri limpahan kepada komuniti setempat dari pengusaha bot, pemandu pelancong, peniaga kecil. Itu sejajar dengan peranan Terengganu Inc sebagai syarikat milik negeri.

Bagaimana Datuk melihat pengurusan anak syarikat yang berdepan cabaran?


Dalam konglomerat, memang ada syarikat besar yang untung, ada syarikat kecil yang rugi. Itu lumrah.

Kalau kerugian kecil, sekitar RM900,000 atau RM1 juta setahun, masih boleh ditampung oleh syarikat besar. Tetapi kita tidak boleh biarkan berlarutan. Jadi strategi kita ialah beri sokongan, sama ada kewangan, kepakaran pengurusan atau penstrukturan semula.

Contoh terbaik ialah Chicken Cottage. Dulu ia rugi besar. Kalau rugi 100,000 pound sterling, sudah hampir RM1 juta.

Tetapi kita perbaiki operasi, tambah baik strategi dan luaskan cawangan. Hasilnya, tahun lepas sahaja Chicken Cottage buka 15 cawangan di United Kingdom dan tujuh di Kenya.

Sekarang di UK ada 77 cawangan, Kenya ada 12. Malah hujung tahun ini kita akan buka cawangan pertama di Arab Saudi.

Ada berita baiknya juga kerana kita sedang dalam perancangan untuk membawa pulang Chicken Cottage semula ke Malaysia.

Model francais di luar negara sudah terbukti berjaya. Jadi kita mahu bawa masuk ke Malaysia melalui model master franchise.

Dengan cara ini, kita tidak perlu urus operasi harian. Kita lantik rakan kongsi tempatan. Risiko lebih rendah, tetapi pulangan tetap baik.

Yang penting, kita mahu Chicken Cottage sampai ke negeri sendiri. Bayangkan bila ada cawangan di Kuala Terengganu, rakyat akan rasa bangga kerana ia ada kaitan dengan syarikat negeri mereka.

Kita jangka ini bermula seawal tahun depan.

image is not available


Akhir sekali, bagaimana Datuk melihat masa depan Terengganu Inc dalam 10 tahun akan datang?


Saya optimis. Kalau strategi tiga tonggak (minyak dan gas, penjagaan Kesihatan dan RE) ini kekal, Terengganu Inc akan berada di kedudukan sangat kukuh.

RE akan jadi pemacu utama. Penjagaan kesihatan pula akan berkembang menjadi pemain industri besar. Minyak & gas masih relevan, terutama kalau kita berjaya dalam upstream.

Sudah tentu cabaran akan ada dari segi ekonomi global, persaingan dan kos modal. Tetapi dengan asas kukuh dan kepelbagaian pendapatan, saya yakin Terengganu Inc mampu mengharunginya.

Akhirnya, matlamat kita bukan sahaja keuntungan. Kita mahu setiap ringgit yang dijana membawa manfaat balik kepada rakyat Terengganu dalam bentuk peluang pekerjaan, pembangunan industri dan limpahan ekonomi setempat. Itu tanggungjawab utama kita. DagangNews.com

standard