
BENTONG – Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis merupakan empat negeri yang merekodkan kadar penyalahgunaan dadah jauh melebihi kadar nasional sebanyak 381 kes bagi setiap 100,000 penduduk dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, berdasarkan rekod Terengganu merekodkan kadar tertinggi iaitu 735 kes , diikuti Kelantan (694), Kedah (669) dan Perlis (646).
Katanya, keadaan itu turut dapat dilihat pada peringkat daerah apabila beberapa kawasan merekodkan kadar penyalahgunaan dadah jauh lebih tinggi berbanding kadar nasional dengan Langkawi mencatat kadar tertinggi iaitu 1,570 kes bagi setiap 100,000 penduduk, diikuti Pendang (1,278), Kuala Krai (926), Gua Musang (833) dan Bachok (829).
“Angka ini mengatasi kadar nasional dan juga kadar negeri. Mana kita dapat data ini? Itulah melalui data yang kita sediakan.
“Angka berkenaan menunjukkan keperluan untuk kerajaan menggunakan data yang lebih terperinci bagi mengenal pasti kawasan berisiko tinggi serta merangka bentuk intervensi yang bersesuaian,”katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Projek Membina dan Meroboh Serta Menaik taraf Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Karak di sini hari ini.
Menurutnya, data terbabit juga perlu dilihat sebagai satu isyarat penting kepada kerajaan dan bukan sekadar angka statistik kerana ia boleh membantu menentukan strategi pencegahan, penguatkuasaan serta pemulihan yang lebih tepat mengikut kawasan.
Dalam pada itu Saifuddin berkata, trend penyalahgunaan dadah lebih membimbangkan apabila sebahagian besar individu terlibat berada dalam lingkungan umur 15 hingga 39 tahun, iaitu kelompok yang dianggap berada pada usia produktif.
Tambahnya, dari segi latar belakang pendidikan pula, individu berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ke bawah merupakan kumpulan paling ramai terlibat.
“Bila kita lihat dari segi pekerjaan pula, angka paling tinggi adalah mereka yang menganggur, kedua bekerja sendiri dan ketiga bekerja di sektor swasta.
“Kalau kita ambil tiga kategori pekerjaan ini, ia menyumbang kepada peratusan yang tinggi dalam kalangan mereka yang terlibat,”katanya.
Jelasnya, data tersebut menunjukkan terdapat hubungan antara tahap pendidikan, peluang pekerjaan dan gejala penyalahgunaan dadah yang perlu ditangani menerusi pendekatan lebih menyeluruh.
“Semakin baik tahap pendidikan, semakin kurang gejala penagihan, semakin tinggi peluang pekerjaan, semakin rendah gejala penagihan.
“Jadi ada persamaan antara empat negeri ini, terutama apabila dikaitkan dengan kadar pertumbuhan ekonomi yang relatif perlahan berbanding kadar pertumbuhan ekonomi nasional,”katanya.
Tambah beliau, profil penyalahgunaan dadah mengikut jenis bahan pula menunjukkan dadah sintetik daripada kumpulan amphetamine-type stimulants (ATS) merupakan antara bahan paling dominan.
Jelasnya, sebanyak 84 peratus individu yang terlibat mengambil dadah sintetik berkenaan, manakala ganja turut antara bahan yang dikenal pasti digunakan.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) perlu memastikan pendekatan menangani masalah dadah bersifat berasaskan data atau ‘data-driven’ termasuk menggabungkan maklumat daripada pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan AADK.
“Kita boleh buat pemetaan seluruh negara, bukan sahaja daripada segi daerah atau kawasan hotspot, tetapi juga untuk membuat unjuran tentang aktiviti berkaitan dadah di sesuatu negeri.
“Daripada data yang dikumpulkan setiap minggu dan mengikut bulan, kita boleh buat rujukan, pemetaan dan membangunkan model untuk menjangkakan trend di sesuatu kawasan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Terengganu, Kelantan, Kedah, Perlis empat negeri kadar penyalahgunaan tinggi appeared first on Kosmo Online.






