KUALA TERENGGANU - Perkembangan kerjasama politik antara UMNO dengan Pas dan Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan serta Melaka, ditambah kejayaan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, membuka persoalan strategik lebih besar terhadap masa depan politik Melayu-Islam.
Penganalisis Politik, Dr Azrie Azih berkata, situasi tersebut turut mencetuskan tanda tanya sejauh mana formula penyatuan itu mampu diterjemahkan di Terengganu yang kini dikuasai sepenuhnya oleh pentadbiran Pas-PN.
Menurutnya, meskipun kejayaan UMNO di beberapa negeri menyuntik semangat kepada kepimpinan parti itu di Terengganu untuk bangkit semula, realiti politik di negeri berkenaan jauh lebih kompleks memandangkan Pas merupakan kuasa dominan yang menguasai keseluruhan jentera kerajaan negeri.
"Dilema berkenaan menjadi lebih ketara apabila UMNO berada dalam kedudukan berbeza di peringkat Persekutuan sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Pakatan Harapan (PH), namun di peringkat negeri berdepan kemungkinan menjalin persefahaman dengan blok pembangkang.
"Keadaan ini menuntut UMNO mengimbangi tanggungjawab mempertahankan kestabilan Kerajaan Perpaduan di Putrajaya dengan keperluan membina semula kekuatan politik Melayu di negeri dikuasai Pas tanpa mencetuskan kekeliruan dalam kalangan ahli serta pengundi.
"Walaupun kerjasama di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka dilihat mampu mengurangkan perpecahan undi Melayu, isu utama di Terengganu adalah sama ada Pas-PN bersedia menerima UMNO sebagai rakan setara, bukan sekadar rakan ketika berdepan pilihan raya,"katanya.
Beliau berkata, penguasaan kukuh Pas di Terengganu melalui jaringan organisasi, pengaruh kepimpinan agama serta sokongan akar umbi menjadikan rundingan pembahagian kerusi sebagai perkara sensitif yang menyentuh maruah organisasi dan kesinambungan kuasa.
Justeru, jelasnya, timbul persoalan mengenai kesanggupan Pas-PN mengorbankan sebahagian kerusi yang dimenangi bagi memberi laluan kepada UMNO bertanding serta membuktikan gagasan perpaduan berteraskan prinsip perkongsian kuasa.
"Sekiranya kerjasama jangka panjang mahu dibina secara ikhlas, pengagihan kerusi tidak boleh bersandarkan rekod kemenangan lalu semata-mata, sebaliknya perlu menilai kekuatan calon, penerimaan pengundi, rekod khidmat masyarakat dan keupayaan jentera secara objektif.
"UMNO juga perlu bermuhasabah kerana kejayaan di negeri lain bukan jaminan pengundi Terengganu akan kembali menyokong secara automatik tanpa tawaran kepimpinan baharu, agenda pembangunan meyakinkan serta pendekatan yang dekat dengan aspirasi orang muda," ujarnya.
Pada masa sama, beliau berkata, sebarang percaturan politik di Terengganu perlu mengambil kira kesannya terhadap hubungan nasional dan kepercayaan rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan agar tidak mencetuskan ketidaktentuan di peringkat pusat.
"UMNO perlu menjelaskan kerangka dan batas setiap persefahaman supaya tidak dilihat mempunyai dua pendirian politik yang bercanggah antara Putrajaya dan negeri, manakala Pas pula perlu memahami bahawa penyatuan politik bukan instrumen untuk memperluas penguasaan secara sepihak.
"Sekiranya Pas-PN enggan memberi ruang munasabah dan UMNO terus berasa diketepikan, kerjasama yang diharapkan berisiko bertukar menjadi konflik dalaman yang akhirnya mengundang pertembungan tiga penjuru serta memberi kelebihan kepada pihak lawan," katanya.
Jelas beliau, ibarat peribahasa Melayu 'berat sama dipikul, ringan sama dijinjing', perpaduan tulen menuntut pengorbanan semua pihak dan bukannya bersikap 'bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing' demi mempertahankan kepentingan sendiri.
"Tuntasnya, Terengganu bukan sekadar medan menguji kebangkitan UMNO atau dominasi Pas, sebaliknya menjadi kayu ukur kematangan politik Melayu-Islam dan keikhlasan perkongsian kuasa, kerana penyatuan yang hanya menuntut satu pihak berkorban bukanlah perpaduan sebenar, tetapi sekadar strategi mempertahankan kuasa, "katanya.

![[VIDEO] BN, PN negeri setuju patuhi keputusan calon MB baharu](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/WhatsApp-Image-2026-11-17-at-13.46.32.jpeg)




