![Image from: [VIDEO] BN, PN negeri setuju patuhi keputusan calon MB baharu](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/WhatsApp-Image-2026-11-17-at-13.46.32.jpeg)
SEREMBAN – Kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan bersetuju untuk mematuhi apa juga keputusan yang bakal dibuat pucuk pimpinan tertinggi parti berhubung pelantikan Menteri Besar baharu.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, semua pihak juga menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dalam menentukan proses seterusnya.
Katanya, pelantikan pengganti Menteri Besar adalah tertakluk kepada perkenan Tuanku, manakala cadangan nama calon akan ditentukan oleh pimpinan tertinggi parti.
“Belum dapat dipastikan lagi berapa calon yang akan diangkat. Saya tunggu apa juga arahan dan perkara yang akan diputuskan pimpinan parti,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan khas bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN dan PN serta pimpinan tertinggi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan di Wisma Negeri, di Seremban, hari ini.
Mengulas dakwaan bahawa peletakan jawatan Datuk Ismail Lasim sebagai Menteri Besar disebabkan tekanan atau paksaan, Jalaluddin berkata, perkara itu tidak perlu dipanjangkan, sebaliknya semua pihak perlu memberi tumpuan kepada usaha memastikan kestabilan kerajaan negeri.
“Saya fikir perkara itu tidak perlu lagi saya atau kita ulas. Kita perlu bergerak ke hadapan dan memastikan kestabilan kerajaan dapat diuruskan dengan baik serta proses ini berjalan lancar,” katanya.
Beliau berharap keputusan peletakan jawatan itu dapat membantu menyelesaikan kemelut politik negeri secara baik, berhemah dan harmoni.
Katanya, kepentingan rakyat, khususnya berkaitan urus tadbir kerajaan dan kesejahteraan mereka, tidak seharusnya terjejas susulan perkembangan politik berkenaan. – KOSMO! ONLINE
View this post on Instagram
The post [VIDEO] BN, PN negeri setuju patuhi keputusan calon MB baharu appeared first on Kosmo Online.






