Terengganu meterai pajakan perlombongan bijih besi, sasar 200 peluang pekerjaan baharu

31/07/2025 - 14:59
Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (tengah) menyaksikan Perjanjian Pajakan Perlombongan antara LTAWNT dan Gemilang Mining Sdn. Bhd di Kuala Lumpur, semalam. Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA TERENGGANU 31 Julai – Kerajaan Terengganu melalui Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) memeterai Perjanjian Pajakan Perlombongan bersama Gemilang Mining Sdn. Bhd, melibatkan pembangunan tapak perlombongan bijih besi di kawasan berpotensi tinggi di negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerjasama itu bukan sahaja akan menjana hasil baharu kepada negeri, malah memacu pertumbuhan ekonomi tempatan secara inklusif dan mampan.
“Kolaborasi antara LTAWNT dan Gemilang Mining ini adalah satu lagi langkah ke hadapan dalam pengurusan hasil negeri secara strategik.
“Kita mahu sumber negeri dimanfaatkan secara lestari, berimpak dan memberi pulangan kepada rakyat,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Pajakan Perlombongan di sini semalam.
Dengan dimeterainya perjanjian itu, Terengganu terus memperkukuh pendekatan berasaskan aset warisan negeri sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi dan peluang pembangunan industri perlombongan secara tersusun.
Ahmad Samsuri yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah LTAWNT berkata, projek tersebut dijangka menyediakan peluang pekerjaan kepada 200 orang pekerja, dengan sasaran sekurang kurangnya 80% tenaga kerja adalah anak tempatan.
“Selain itu, ia juga bakal menjana manfaat ekonomi menyeluruh kepada penduduk setempat. Vendor makanan dan minuman, pembekal hasil segar serta penjual perkakasan dan bahan binaan tempatan akan mendapat limpahan peluang perniagaan.
“Cadangan pembinaan kuarters kediaman dan kantin untuk kakitangan dan pekerja juga akan menyumbang kepada pembangunan infrastruktur setempat,” katanya.
Beliau turut menegaskan Terengganu tidak akan berkompromi dalam memastikan pematuhan penuh terhadap undang undang, khususnya Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), pemuliharaan ekosistem dan pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat (CSR). - DagangNews.com
standard



