Terengganu mohon peruntukan RM22.31 juta jenamakan semula Rantau Abang

17 Nov 2026 • 2:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Terengganu mohon peruntukan RM22.31 juta jenamakan semula Rantau Abang
Azman

​KUALA TERENGGANU - Terengganu memohon peruntukan sebanyak RM22.31 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi melaksanakan projek penjenamaan semula Pusat Peranginan Rantau Abang, Dungun.

​Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Datuk Dr Azman Ibrahim berkata, permohonan itu dikemukakan melalui Majlis Perbandaran Dungun (MPD) kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

​Bagaimanapun, beliau berkata, projek berkenaan masih belum mendapat kelulusan peruntukan bagi membangunkan kawasan yang terkenal sebagai lokasi pendaratan penyu belimbing itu.

​Menurutnya, projek itu bertujuan membangunkan Rantau Abang sebagai destinasi ekopelancongan berasaskan warisan dan rekreasi dengan mengetengahkan pelbagai tarikan sedia ada termasuk Pusat Penyelidikan Penyu, kawasan pendaratan penyu bertelur, Batu Penyu dan Batu Pelanduk.

​"Antara perancangan yang dicadangkan termasuk menaik taraf kemudahan awam, kawasan rekreasi, landskap dan kemudahan pelancong bagi meningkatkan daya tarikan kawasan berkenaan.

​"Inisiatif ini diharap dapat mengembalikan imej Rantau Abang sebagai destinasi pelancongan berasaskan pemuliharaan penyu, pendidikan alam sekitar dan penglibatan komuniti," katanya.

​Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli (Pas-Rantau Abang) yang ingin tahu strategi kerajaan negeri untuk mengembalikan kawasan itu sebagai pusat pemuliharaan dan pendidikan penyu bertaraf antarabangsa khususnya dalam menarik generasi muda serta pelancong, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman di sini pada Selasa.

Menurut Azman, projek yang dicadangkan mengambil tempoh pelaksanaan selama 36 bulan itu turut merangkumi pembangunan kawasan pesisir pantai dari Rantau Abang hingga Batu Pelanduk sebagai kawasan pelancongan bersepadu.

​Katanya, antara komponen utama ialah pembinaan laluan pejalan kaki (boardwalk), wakaf dan menara tinjau di kawasan hutan pesisir membabitkan peruntukan RM6.2 juta.

​"Selain itu, sebanyak RM2.5 juta diperuntukkan bagi cadangan menaik taraf Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Rantau Abang (TCIC), manakala RM4 juta bagi menaik taraf Institut Penyelidikan Perikanan Rantau Abang (TUMEC).

​"Projek berkenaan turut merangkumi pembangunan Dataran Penyu bernilai RM1.5 juta, menaik taraf kawasan rekreasi Pantai Batu Pelanduk (RM1.5 juta) serta sistem saliran air di Muara Sungai Abang (RM1 juta)," jelasnya.

​Tambah beliau, cadangan lain termasuk pembinaan gerbang sempadan Dungun-Marang, pengindahan landskap, menaik taraf kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta kemudahan tandas di Rantau Abang.

Ujarnya, pelaksanaan projek itu diharap dapat menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan berkenaan, sekali gus merancakkan ekonomi penduduk setempat menerusi pembangunan produk pelancongan berasaskan warisan, alam sekitar dan pemuliharaan penyu.

​"Bagaimanapun, pelaksanaan keseluruhan projek ini masih tertakluk kepada kelulusan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved