liza17/11/2026 - 11:04 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA TERENGGANU 17 Nov – Terengganu merancang untuk mengembalikan kegemilangan Rantau Abang, Dungun sebagai destinasi pelancongan terkenal menerusi projek penjenamaan semula pusat peranginan itu yang dianggarkan menelan kos RM22.31 juta.
Kerajaan Negeri melalui Majlis Perbandaran Dungun telah mengemukakan permohonan peruntukan bagi projek berkenaan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).
Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Datuk Dr. Azman Ibrahim berkata projek itu masih belum mendapat kelulusan peruntukan untuk dilaksanakan.
“Antara tarikan yang akan diketengahkan termasuk Pusat Penyelidikan Penyu, kawasan pendaratan penyu bertelur, Batu Penyu dan Batu Pelanduk.
“Cadangan pembangunan itu turut merangkumi projek naik taraf kemudahan awam, kawasan rekreasi, landskap serta kemudahan pelancong bagi meningkatkan daya tarikan kawasan berkenaan.
“Antara komponen utama projek ialah menaik taraf Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Rantau Abang serta Institut Penyelidikan Perikanan Rantau Abang,” katanya menjawab soalan lisan Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli (PAS-Rantau Abang) yang ingin tahu usaha Kerajaan negeri untuk mengembalikan semula lokasi tersebut sebagai pusat pemuliharaan dan Pendidikan penyu bertaraf antarabangsa pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini.
Pusat penetasan penyu
Projek itu turut melibatkan pembinaan laluan pejalan kaki (boardwalk), wakaf dan menara tinjau di kawasan hutan pesisir, selain pembangunan dataran penyu berhampiran stesen minyak Petronas Rantau Abang.
Kemudahan lain yang dicadangkan termasuk menaik taraf kawasan rehat dan rawat (R&R), dataran serta tandas awam di Rantau Abang, di samping penambahbaikan kawasan rekreasi Pantai Batu Pelanduk.
Kerajaan negeri turut merancang kerja pengindahan landskap di sepanjang jalan utama Rantau Abang hingga Pantai Batu Pelanduk serta pembinaan pintu gerbang sebagai mercu tanda sempadan Daerah Dungun.
Sasaran tarik lebih ramai pelancong
Menurut Dr Azman, pembangunan bersepadu itu bertujuan meningkatkan semula imej Rantau Abang sebagai kawasan santuari penyu dan produk pelancongan utama di Daerah Dungun serta Terengganu.
Pelaksanaan projek berkenaan dijangka meningkatkan jumlah kedatangan pengunjung, menyediakan kemudahan rekreasi lebih selesa serta menghubungkan kedua-dua kawasan pantai itu sebagai destinasi persinggahan pelancong.
Selain itu, pembangunan berkenaan dijangka memberi manfaat kepada penduduk setempat menerusi peningkatan aktiviti sosioekonomi, termasuk perniagaan dan perkhidmatan berkaitan pelancongan.
Projek yang dicadangkan mengambil tempoh pelaksanaan selama 36 bulan, tertakluk kepada kelulusan peruntukan kerajaan.- DagangNews.com






