Terengganu, Singapura perkukuh kerjasama strategik

7 May 2026 • 5:01 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Terengganu, Singapura perkukuh kerjasama strategik
Hsien Loong (kanan) bersama Ahmad Samsuri ketika tiba di Wisma Darul Iman bagi kunjungan hormat selama sehari di Terengganu pada Khamis.
Image from: Terengganu, Singapura perkukuh kerjasama strategik
Hsien Loong (kanan) disambut Ahmad Samsuri ketika tiba di Wisma Darul Iman pada Khamis.

​KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu menerima kunjungan daripada Menteri Kanan Singapura, Lee Hsien Loong dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala serta meneroka potensi kerjasama dalam sektor strategik.

​Pertemuan yang berlangsung di Wisma Darul Iman pada Khamis itu disambut oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama kepimpinan kerajaan.

​Kerajaan negeri dalam kenyataan berkata, lawatan tersebut memberi tumpuan utama kepada perkongsian aspirasi pembangunan mampan di bawah Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030), khususnya dalam sektor tenaga baharu dan ekonomi hijau.

​"Terengganu mempersembahkan potensi sebagai hab tenaga hijau melalui projek ikonik seperti loji solar terapung hibrid (HHFS) di Tasik Kenyir yang merupakan loji terbesar di Malaysia dengan kapasiti 2.5 gigawatt (GW).

​"Selain itu, kita turut memperkenalkan ekosistem perindustrian negeri termasuk rantaian nilai silika (Terengganu Silica Valley) serta infrastruktur logistik seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Pelabuhan Kemaman," kata kenyataan tersebut pada Khamis.

**media[3513585]**

​Jelas kenyataan itu lagi, sektor pelancongan turut menjadi agenda penting memandangkan Singapura merupakan pasaran sumber pelancong asing terbesar bagi Malaysia ketika ini.

"​Pertemuan itu membuahkan komitmen untuk terus memupuk hubungan erat memandangkan Terengganu kini dilihat sebagai gerbang strategik di Pantai Timur yang menawarkan peluang pelaburan mampan dalam teknologi tinggi," katanya.

Selain sesi perbincangan rasmi, delegasi Singapura turut dibawa melawat beberapa lokasi ikonik negeri termasuk Pasar Besar Kedai Payang dan Jambatan Angkat (Drawbridge) Kuala Terengganu.

​Delegasi tersebut turut meninjau inisiatif perlindungan pantai yang sedang dilaksanakan di negeri ini bagi melihat sendiri usaha kelestarian alam yang dijalankan kerajaan negeri.

​Hadir sama dalam rombongan rasmi tersebut ialah isteri beliau, Ho Ching; Menteri Undang-undang dan Menteri Kedua Hal Ehwal Dalam Negeri, Edwin Tong; Menteri di Kementerian Hal Ehwal Luar serta Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga Zhulkarnain Abdul Rahim; Ahli Parlimen Singapura Joan Pereira serta Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon serta barisan pegawai Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura.

Hsien Loong sebelum ini mengadakan lawatan lima hari ke Pahang dan Terengganu bermula Isnin sehingga 8 Mei.