Terengganu perkenal dasar baharu Rumah Mampu Milik secara penswastaan

28/08/2025 - 09:32
Ahmad Samsuri (tengah) mendengar penerangan mengenai dasar rumah mampu milik secara penswastaan yang digubal di Kuala Terengganu semalam / Gambar Pejabat Menteri Besar Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA TERENGGANU 28 Ogos – Kerajaan Negeri Terengganu melancarkan Dasar Pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) secara penswastaan dengan beberapa pindaan baharu, bagi menyesuaikan dasar tersebut dengan cabaran kos semasa dan keperluan pasaran perumahan.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penambahbaikan dasar dilakukan secara berterusan mengikut perkembangan semasa dan permasalahan yang dihadapi rakyat, tanpa perlu menunggu dasar lama tamat tempoh.
“Kerajaan Negeri mengambil pendekatan realistik terhadap kenaikan kos bahan binaan dan keperluan pasaran.
“Isu yang perlu diselesaikan ialah kos bahan mentah dan ini merupakan cabaran utama yang perlu ditangani di peringkat nasional.
“Namun, Terengganu terus memperkenalkan pelbagai langkah yang diharap bukan sahaja mengurangkan kos pembangunan, malah akan turut menstabilkan harga jualan dan menjadikan rumah sebagai tempat yang lebih mampu milik terutama kepada golongan berpendapatan rendah,” katanya ketika merasmikan pelancaran dasar baharu itu di sini, semalam.
Sebelum ini, beberapa siri bengkel telah dilaksanakan melibatkan agensi dan jabatan berkaitan di Terengganu termasuk pemaju dan kontrakor untuk memastikan dasar yang digubal benar-benar menepati keperluan semasa, bersifat praktikal untuk dilaksanakan serta selaras dengan aspirasi pembangunan perumahan di negeri itu.
Dengan pemurnian dasar itu juga, kerajaan negeri telah menerima satu kertas cadangan pembangunan perumahan mampu milik dan bercampur yang melibatkan pembinaan sebanyak 591 unit di Daerah Marang.

Dasar baharu itu memperuntukkan RMM Jenis A pada harga RM90,000 (800 kaki persegi, pendapatan RM2,500–RM5,000, kuota Melayu 95 peratus) dan Jenis B pada harga RM150,000–RM185,000 (900 kaki persegi, pendapatan RM3,000–RM8,000, kuota Melayu 70 peratus).
Pembangunan bercampur di tanah kerajaan diwajibkan mempunyai sekurang-kurangnya 20% RMM Jenis A, 20% RMM Jenis B, dengan baki 60% untuk unit komersial.
Harga ditetapkan kerajaan bagi unit RMM manakala unit komersial mengikut budi bicara pemaju, tanpa sebarang pelepasan kuota Melayu.
Bagi memastikan standard kualiti, semua projek mesti mematuhi Dasar Perumahan Negara 2018–2023 dan mencapai skor minimum 50 peratus QLASSIC oleh CIDB.
Caj premium tanah turut ditetapkan antara RM100 hingga RM300 seunit untuk RMM.
Pemaju turut diberi insentif seperti pengecualian penyediaan SPAH untuk RMM, kelulusan pelan dipercepatkan melalui 'Green Lane', serta pengecualian levi jika pembangunan memenuhi syarat.
Mengulas lanjut, beliau berkata, secara keseluruhannya, pindaan itu dirangka untuk mewujudkan penyelesaian menang-menang bagi semua pemegang taruh.
“Dasar ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri Terengganu untuk mengimbangi kepentingan rakyat, pemaju dan institusi kewangan di samping mengekalkan kelestarian pasaran perumahan,” katanya.
Dasar RMM secara penswastaan yang dipinda itu diharap dapat memperkukuh ekosistem perumahan di Terengganu dengan lebih mampan, seiring usaha menyediakan kediaman berkualiti pada harga berpatutan untuk rakyat negeri itu.- DagangNews.com
standard


