SL Innovation tangguh penyenaraian ke Pasaran ACE ekoran ketidaktentuan ekonomi semasa

23/07/2025 - 09:38
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 23 Julai – SL Innovation Capital Bhd, penyedia rumusan teknologi maklumat dan automasi proses perniagaan, memutuskan untuk menangguhkan rancangan pemindahan penyenaraian syarikat daripada Pasaran LEAP ke Pasaran ACE buat masa ini.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, KAF Investment Bank Bhd yang bertindak bagi pihak SL Innovation berkata, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk keadaan pasaran dan ekonomi semasa yang tidak menentu, serta persaingan yang semakin mencabar dalam landskap kecerdasan buatan (AI).
“Setelah penelitian lanjut, mengambil kira banyak faktor termasuk keadaan pasaran yang tidak stabil dan landskap AI yang semakin kompetitif, syarikat telah memutuskan untuk menangguhkan cadangan pemindahan penyenaraian pada ketika ini,” katanya.
Syarikat itu, bagaimanapun tidak menetapkan garis masa baharu bagi proses tersebut.
SL Innovation disenaraikan di Pasaran LEAP pada 21 Mei 2018 dengan harga tawaran awal sebanyak 18 sen sesaham dan kini mengorak langkah berhati-hati dalam merancang akses kepada pasaran modal yang lebih luas.
Meskipun pelaksanaan pemindahan ditangguhkan, prestasi kewangan syarikat terus menunjukkan peningkatan kukuh.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY2024), SL Innovation mencatatkan lonjakan keuntungan bersih sebanyak 44.9% kepada RM6.12 juta, berbanding RM4.22 juta pada tahun sebelumnya.
Peningkatan tersebut didorong oleh hasil lebih tinggi dalam segmen penyelesaian automasi proses perniagaan dan teknologi infrastruktur IT.
Pendapatan tahunan syarikat turut meningkat 24.6% kepada RM62.87 juta, berbanding RM50.40 juta pada FY2023.
SL Innovation terlibat secara aktif dalam menyediakan penyelesaian infrastruktur teknologi maklumat serta perisian perusahaan kepada pelbagai sektor perniagaan di Malaysia dan dilihat sebagai antara pemain teknologi tempatan yang sedang meningkat naik.
Penangguhan ini disifatkan sebagai langkah strategik bagi membolehkan syarikat menilai semula masa terbaik untuk memasuki Pasaran ACE dengan lebih bersedia dan berdaya saing dalam persekitaran pasaran yang lebih stabil. - DagangNews.com
standard


