KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu berjaya memperoleh tiga tuntutan utama daripada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) melibatkan isu tanah ladang komersial selepas rundingan yang berlarutan sejak 2018 akhirnya mencapai kata sepakat.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Datuk Dr Azman Ibrahim berkata,tiga tuntutan tersebut merangkumi hasil premium tanah, cukai tanah dan bayaran perkongsian keuntungan yang selama ini diperjuangkan kerajaan negeri.
Menurutnya, kejayaan itu membuktikan bahawa langkah kerajaan negeri bukanlah untuk merampas aset, sebaliknya menuntut hak yang terjejas.
"Perjuangan kita selama ini adalah untuk menuntut hak negeri dalam bentuk tiga item utama itu. Bukan perjuangan untuk merampas atau menyita ladang Felda.
"Isu ini bermula apabila Felda membangunkan ladang komersial di atas tanah kerajaan negeri tanpa kebenaran sah, menyebabkan Terengganu kehilangan tiga sumber hasil utama tersebut," katanya memetik kenyataan menerusi portal rasmi kerajaan negeri pada Isnin.
Jelas beliau, perubahan drastik dalam rundingan hanya berlaku selepas kerajaan negeri menguatkuasakan Notis 425 Kanun Tanah Negara (KTN).
Katanya, notis tersebut bukan bertujuan menyita ladang atau mengeluarkan pekerja, tetapi sebagai instrumen undang-undang untuk memberi ruang remedi kepada Felda bagi membuat pembetulan.
Beliau memberitahu, melalui perjanjian terbaru yang dimeterai, kemelut berkenaan dianggap selesai apabila Felda kini diberikan pemilikan tanah secara sah, manakala kerajaan negeri pula menerima pulangan hasil yang dituntut selama ini.
"Hasilnya, selepas menerima Notis 425, kesediaan Felda untuk duduk berunding bagi menyelesaikan isu ini dapat dilihat. Itu menunjukkan mereka mahu membuat pembetulan.
"Tanpa penguatkuasaan notis tersebut, adakah pihak Felda benar-benar bersedia untuk kembali ke meja rundingan atau isu ini akan terus berlarutan,"katanya lagi.
Sebelum ini, kerajaan Terengganu dan Felda telah memeterai perjanjian penyelesaian bagi memperkemas status pemberimilikan ladang komersial.
Perjanjian tersebut dimeterai di Kementerian Kewangan, Putrajaya pada 18 Mac lalu dimana Kerajaan Persekutuan dimuktamadkan dengan bertindak sebagai pemudah cara utama.
Kesepakatan strategik yang bakal memperkemaskan status pemilikan ladang komersial di enam buah daerah, iaitu Besut, Setiu, Dungun, Hulu Terengganu, Marang, dan Kemaman.

