Terengganu tuan rumah Muktamar Pas Ke-73 tahun depan

LocalPolitics
5 Sep 2026 • 5:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Terengganu tuan rumah Muktamar Pas Ke-73 tahun depan
Wan Sukairi

​KOTA BHARU - Terengganu bersedia mengalas tanggungjawab sebagai tuan rumah penganjuran Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-73 yang dijadualkan berlangsung pada 2027.

​Setiausaha Pas Terengganu, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa Pas Pusat atas kepercayaan yang diberikan untuk memilih negeri itu sebagai lokasi penganjuran.

​Menurutnya, persediaan awal membabitkan keperluan logistik seperti pemilihan lokasi, penyediaan petugas serta kemudahan penginapan akan mula dikenal pasti bagi memastikan kelancaran program berskala besar berkenaan.

​"Terengganu akan bersiap sedia dengan segala keperluan sama ada dari sudut tempat, petugas, penginapan dan sebagainya. Apa sahaja yang diperlukan, kami akan lakukan persiapan awal terutamanya dalam mengenal pasti lokasi yang sesuai.

​"Kita yakin dengan kesiapsiagaan tempat tinggal dan fasiliti di Terengganu memandangkan negeri ini pernah terlibat dengan penganjuran pelbagai program berskala besar sebelum ini," katanya.

​Mengulas lanjut, katanya kepimpinan Pas Pusat diharap dapat menetapkan tarikh penganjuran lebih awal bagi memudahkan urusan logistik para perwakilan dan pemerhati.

​"Saya harap Pas Pusat memberikan tarikh lebih awal supaya perwakilan dan pemerhati dapat merancang perjalanan mereka. Ini membolehkan mereka menyertakan sekali program cuti keluarga sama ada sebelum atau selepas muktamar di tempat-tempat menarik sekitar Terengganu," jelasnya.

​Tambah beliau, penganjuran kali terakhir Muktamar Tahunan Pas di negeri itu pada 2021 yang berlangsung di Duyung Marina & Resort yang kini dikenali sebagai The Langit Duyong Marina Resort.

​Justeru, beliau menjangkakan penganjuran pada 2027 bakal menarik kehadiran sehingga 70,000 pengunjung berbanding kebiasaan 30,000 hingga 50,000 peserta, memandangkan ramai yang akan mengambil kesempatan untuk melancong.

​"Mudah-mudahan kedatangan dan penganjuran muktamar ini kelak dapat menambah lagi momentum serta sokongan kepada Pas di Terengganu sebagai persiapan berdepan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16)," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved