Terengganu Umum Isnin Ini Cuti Gantian Sempena Aidilfitri

21 Apr 2023 • 11:11 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Kerajaan Terengganu telah mengumumkan Isnin ini sebagai cuti gantian memandangkan Hari Raya Aidilfitri disambut esok. - Gambar oleh Azim Rahman

KUALA LUMPUR - Memandangkan Aidilfitri disambut esok, kerajaan Terengganu mengumumkan Isnin ini sebagai cuti gantian, bukannya cuti peristiwa sempena sambutan perayaan itu.

Setiausaha Kerajaan Terengganu, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, tiada keputusan baharu berkaitan dengan cuti peristiwa dibincangkan pada Mesyuarat EXCO kerajaan negeri, Rabu lalu.

Justeru, katanya, ketetapan cuti raya serta cuti gantian adalah amalan biasa dan bukannya cuti peristiwa.

“Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengumumkan tarikh hari raya Aidilfitri adalah esok dan cuti gantian esok diganti kepada Isnin,” katanya seperti dilaporkan portal BH.

Dalam perkembangan lain, Tengku Farok Hussin turut berpuas hati dengan langkah diambil pelbagai agensi penguatkuasa dalam menangani isu kesesakan lalu lintas di negeri tersebut.

Ujarnya, walaupun jumlah kenderaan dikatakan bertambah sehingga 750,000 terutama membabitkan laluan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), tetapi tiada kesesakan teruk berlaku.

Terdahulu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi  mengumumkan Isnin ini sebagai tambahan cuti buat rakyat di negeri itu sempena Hari Raya Aidilfitri.

Menurut beliau, tambahan hari kelepasan am itu diperkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

“Atas perkenan Sultan Ibrahim, sukacita dimaklumkan bahawa kerajaan negeri Johor bersetuju untuk mengisytiharkan tarikh 24 April 2023 (Isnin), sebagai Hari Kelepasan Am Tambahan.

“Perkara itu selaras dengan Seksyen 8 dan 9, Aka Hari Kelepasan 1951 (Akta 369),” katanya.

Pada Selasa lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan hari kelepasan am sempena Aidilfitri pada 21 April 2023 (Jumaat) atau 24 April 2023 (Isnin), bergantung kepada pengumuman tarikh 1 Syawal oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.  – Getaran, 21 April 2023