Tergelincir Dalam Tali Air, Remaja Ditemukan Lemas

4 Oct 2025 • 8:54 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Mangsa dikatakan pergi memancing bersama rakannya ketika kejadian - Gambar hiasan

ALOR SETAR - Seorang remaja lelaki ditemukan lemas selepas dipercayai tergelincir ke dalam tali air di Kampung Alor Setol, Langgar, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 13 tahun dikatakan pergi memancing bersama empat rakannya di kawasan berkenaan.

"Pusat Kawalan (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar menerima panggilan orang awam pada jam 10.04 pagi memaklumkan seorang remaja lelaki tidak sedarkan diri di tepi tali air di kampung itu.

image is not available
Siti Nor Salawati Saad - Gambar BERNAMA

"Siasatan awal mendapati mangsa yang juga pelajar sebuah sekolah di Pokok Sena dipercayai tergelincir ke dalam tali air ketika melalui kawasan berkenaan. Rakan-rakannya cuba menyelamatkannya, namun gagal," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Siti Nor Salawati berkata pembantu perubatan dari Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) yang hadir ke lokasi mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

Beliau berkata siasatan tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). - BERNAMA