Tergesa-gesa di roundabout, nak ke mana?

LocalOpinion
3 Aug 2026 • 10:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tergesa-gesa di roundabout, nak ke mana?

Saudara Pengarang,

Apa sudah jadi dengan sikap pengguna jalan raya kita? Setiap kali melalui bulatan (roundabout), pasti ada pemandu atau penunggang motosikal yang masuk sesuka hati tanpa memberi laluan kepada kenderaan yang sudah berada di dalam bulatan.

Lebih mengecewakan, ada yang memotong secara tergesa-gesa di kawasan bulatan untuk keluar ke simpang pilihan. Lampu isyarat entah ke mana, disiplin pula langsung tiada. Mereka seolah-olah menganggap jalan raya itu milik sendiri.

Persoalannya, bukankah semua ini telah diajar ketika mengikuti kelas memandu sebelum mendapat lesen? Jika sudah lulus ujian, mengapa peraturan paling asas pun masih gagal untuk dipatuhi?

Sikap tergesa-gesa inilah yang sering mengundang kemalangan. Pengguna motosikal pula menjadi golongan paling berisiko apabila ada kenderaan yang tiba-tiba memotong lorong atau keluar dari bulatan tanpa sebarang isyarat.

Kita sering melihat video kemalangan tular di media sosial, namun masih ramai yang tidak mengambil iktibar. Masing-masing mahu menjadi yang paling cepat sampai sehingga sanggup mengabaikan keselamatan pengguna lain.

Saya berharap pihak berkuasa dapat memperhebat kempen pendidikan dan penguatkuasaan terhadap kesalahan di bulatan. Pada masa sama, institut memandu juga perlu menekankan kepentingan penggunaan bulatan yang betul.

Ingatlah, beberapa saat yang dijimatkan tidak akan membawa kita pergi lebih jauh jika akhirnya mengundang kemalangan. Berhemah di jalan raya bukan pilihan, tetapi tanggungjawab setiap pengguna.

Otai Rider,
Shah Alam

The post Tergesa-gesa di roundabout, nak ke mana? appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved