Terima 6 Jahitan, Akhyar Kerugian Dalam RM 4,800 Akibat Disamun 2 Lelaki

Entertainment
3 May 2024 • 4:44 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Pemain bola sepak Terengganu FC, Akhyar Rashid mengalami kerugian bernilai lebih RM 4,800 setelah disamun oleh dua lelaki bersenjata dalam kejadian di hadapan sebuah kondominium di Kuala Terengganu malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, Akhyar telah disamun oleh 2 lelaki yang berpakaian gelap, memakai topeng muka serta membawa senjata besi boleh laras.

Katanya, kejadian tersebut dimaklumkan kepada kakak mangsa, Nurrashidah Abdul Rashid, 36 yang merupakan pembantu peribadinya pada jam 8.53 malam sebelum membuat laporan polis.

“Berdasarkan laporan diterima, mangsa kehilangan beg tangan berharga kira-kira RM4,000, dompet bernilai RM800, kad pengenalan dan lesen memandu dengan jumlah kerugian lebih RM4,800.”

“Telefon bimbit mangsa yang pada mulanya hilang dijumpai dibuang di tepi jalan pada jarak kira-kira 1 kilometer daripada lokasi kejadian.”

Menurutnya lagi, sebelum kejadian, Akhyar atau nama sebenarnya Muhammad Akhyar Abdul Rashid baru sahaja selesai menjalani latihan bola sepak di Stadium Gong Badak, Kuala Nerus dan ingin pulang ke kediamannya yang terletak di Icon Residence.

image is not available

“Sebaik tiba di kondominium itu, mangsa telah memarkir kenderaan di tempat letak kereta dan sewaktu turun daripada kereta, mangsa ternampak dua lelaki turun daripada sebuah kereta berwarna gelap.”

“Ketika mangsa berjalan hampir ke pintu lobi lif, kedua-dua suspek menghampirinya. Salah seorang suspek telah mengeluarkan besi boleh laras dan terus memukul bahagian kepala mangsa menyebabkan mangsa terjatuh.”

image is not available

“Suspek kemudian memukul bahagian badan dan kaki mangsa sebelum mangsa bangun dan melarikan diri sehingga ke hujung kondominium.”

“Ketika itu, mangsa ternampak suspek telah mengambil barangan kepunyaannya di atas lantai serta melarikan diri.”

Mangsa kini telah dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah dan menerima 6 jahitan, 4 pada bahagian atas kepada dan 2 di atas tapak kaki kiri selain mengalami kesakitan pada anggota badan.

image is not available

Mangsa telah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan. Dalam pada itu, Azli turut memberitahu bahawa mangsa menjelaskan tiada perselisihan faham dengan sesiapa sebelum kejadian dan tidak ada syak mana-mana individu terdekat yang melakukan perbuatan tersebut.

Polis kini sedang mengesan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mengakibatkan kecederaan ketika samun.

Sumber : Sinar Harian

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.