Terima Aduan Buli Guna Surat, PM Janji Siasatan Segera

11 Dec 2022 • 11:11 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Kementerian Pendidikan dimohon menyiasat segera dakwaan kes buli yang dikatakan berlaku ke atas seorang murid sekolah rendah. - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan dimohon menyiasat segera dakwaan kes buli yang dikatakan berlaku ke atas seorang murid sekolah rendah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui satu ciapan di Twitter berkata, Kementerian Pendidikan yang kini diterajui Fadhlina Siddiq perlu menyiasat dakwaan tersebut dengan kadar segera.

Menerusi ciapan sama, Perdana Menteri berkongsi sekeping foto, memaparkan sehelai surat bertulisan tangan.

Antara lain, penulis surat yang dikenali sebagai Tejessh Kanakaraju mendakwa, dia menjadi mangsa buli di sekolah oleh sekumpulan individu lain.

Dakwa Tejessh lagi, guru—guru sekolah terbabit juga sering bersikap rasis ke atas dirinya.

image is not available
Gambar tangkap layar Twitter Anwar Ibrahim

Tidak mendedahkan butiran lanjut surat berkenaan, Anwar mengucapkan terima kasih dan memberi jaminan, siasatan segera akan dilakukan.

“Terima kasih anakanda. Saya akan mohon Kementerian Pendidikan yang kini dikepalai YB (Yang Berhormat) Menteri Pendidikan @FadhlinaSiddiq untuk siasat dalam kadar segera,” katanya.

Setakat jam 10.50 pagi, ciapan itu sudah diulang ciap sebanyak 1,001 kali dan menerima 2,626 tanda suka.

Fadhlina Sidek dilantik sebagai Menteri Pendidikan menerusi pengumuman Kabinet baharu pada 2 Disember lalu.

Sejak dilantik, beliau giat menjalankan sesi libat urus bersama warga pendidik dan pihak berkaitan, bagi mendapatkan maklum balas untuk menambah baik sistem pendidikan negara.  - Getaran, 11 Disember 2022