‘Terima kasih ejek saya’

LocalBusiness & Finance
22 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Terima kasih ejek saya’

SEREMBAN – Pengalaman diejek akibat disleksia sejak kecil menjadi pembakar semangat seorang lelaki membuktikan dirinya juga mampu berjaya hingga memiliki sebuah kafe makanan dan kopi di Bandar Enstek di sini.

Amer Adham Kamaruddin, 25, berkata, dia disahkan menghidap disleksia pada usia 11 tahun menyebabkan proses pembelajaran di sekolah lebih mencabar hingga sering menjadi mangsa ejekan kerana dianggap tidak pandai.

Pemilik kafe Burnt & Brewed itu berkata, sokongan ibu telah banyak membantunya menulis, membaca dan memberi sema­ngat membuatkan dia tidak mudah mengalah.

“Saya kemudian meneruskan persekolahan di Program Pendidikan Khas Integrasi di sebuah sekolah di ibu negara dari tingkatan tiga hingga lima.

“Saya sebenarnya bercita-cita menjadi doktor veterinar tapi terpaksa melupakan impian itu kerana tidak dapat mengikuti aliran sains,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Amer Adham, pada masa sama dia meminati bidang kulinari dan menyambung pelajaran di sebuah akademi di Su­bang Jaya selama dua tahun setengah sebelum memulakan kerjaya sebagai cef.

Tambahnya, minat memasak bermula sejak kecil apabila dia sering membantu arwah nenek­nya di dapur sebelum bekerja di beberapa restoran dan hotel lima bintang di ibu negara selama tiga tahun.

“Ibu kemudian mendorong saya membuka perniagaan sendiri dengan membuka Dyslexia Cafe empat tahun lalu sebelum dijenamakan semula sebagai Burnt & Brewed bagi mengete­ngahkan konsep makanan dan kopi sebagai identiti utama,” katanya.

Kini, Burnt & Brewed yang berpindah ke lokasi baharu di Bandar Enstek pada November tahun lalu turut menampilkan konsep muzium mini dan kedai barangan antik, selain menawarkan hidangan menggunakan resipi sendiri untuk memberikan kelainan kepada pelanggan.

“Saya pernah ditipu dalam urusan perniagaan dan berdepan persaingan sengit, namun pengalaman itu mematangkan diri saya dalam bidang yang saya ceburi ini,” katanya.

Dia turut aktif menggunakan media sosial untuk mempromosikan perniagaan serta memperkenalkan menu istimewa bagi menarik pelanggan.

Biarpun masih menghidap disleksia tahap ringan, Amer berkata, ejekan yang pernah diterimanya menjadi motivasi untuk terus berjaya.

“Saya turut memasang impian mengembangkan jenama Burnt & Brewed ke Australia dan London dalam tempoh enam tahun akan datang,” katanya.

The post ‘Terima kasih ejek saya’ appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved