‘Terima kasih Koperal Siva, Konstabel Jerico’

LocalFamily & Parenting
14 Aug 2026 • 5:32 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Terima kasih Koperal Siva, Konstabel Jerico’

GEORGE TOWN – “Mujur ada Koperal Siva dan Konstabel Jerico. Kami sendiri tidak dapat membayangkan bagaimana keadaan anak kami sekiranya kami tidak bertemu mereka.”

Demikian luahan sebuah keluarga yang menzahirkan penghargaan terhadap jasa dua anggota Unit Kereta Peronda (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut selepas membantu mengiringi kenderaan mereka ke Hospital Pulau Pinang ketika berdepan kesesakan lalu lintas.

Menurut keluarga itu, kejadian cemas berlaku selepas anak mereka, Muhamad Faaeq Muhamad Fitri Zuhaili, tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri di rumah sebelum mereka segera membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

“Pada hari kejadian, anak saya secara tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri di rumah. Dalam keadaan yang sangat cemas dan panik, kami terus bergegas membawanya ke Hospital Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

“Namun, apabila tiba di sekitar persimpangan Jalan Yeap Chor Ee/ Jalan Masjid Negeri, keadaan trafik ketika itu amat sesak dan pergerakan kenderaan sangat perlahan.

“Dalam keadaan kami yang benar-benar buntu dan hanya memikirkan keselamatan anak, kami ternampak sebuah kenderaan MPV polis yang sedang menjalankan tugas.

“Kami terus menghampiri anggota tersebut dan memohon bantuan. Tanpa berlengah, Koperal Siva dan Konstabel Jerico terus memberikan bantuan dengan mengiringi kenderaan kami sehingga selamat tiba di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Pulau Pinang,” katanya.

 

Image from: ‘Terima kasih Koperal Siva, Konstabel Jerico’

Keluarga itu berkata, apa yang lebih menyentuh hati mereka ialah bantuan diberikan kedua-dua anggota berkenaan tidak terhenti setakat mengiringi mereka ke hospital, malah turut membantu sehingga anak mereka mendapatkan rawatan di Zon Merah.

“Sepanjang detik yang amat mencemaskan itu, kedua-dua anggota berkenaan bukan sahaja melaksanakan tanggungjawab sebagai anggota polis, malah turut berada di sisi kami, membantu apa yang termampu dan memberikan kata-kata semangat ketika kami sekeluarga benar-benar berada dalam keadaan tidak menentu.

“Sebagai ibu bapa, kami tidak akan melupakan jasa dan keprihatinan Koperal Siva dan Konstabel Jerico. Pada saat kami sangat memerlukan pertolongan, mereka hadir dan membantu tanpa banyak soal serta tanpa mengira penat ketika sedang menjalankan tugas.

“Kami sendiri tidak dapat membayangkan bagaimana keadaan anak kami sekiranya pada waktu tersebut kami tidak bertemu dengan kedua-dua anggota ini dan terpaksa terus berdepan dengan kesesakan lalu lintas dalam keadaan anak yang tidak sedarkan diri,” ujarnya.

Keluarga itu turut berharap pihak kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya IPD Timur Laut, dapat menghargai tindakan terpuji kedua-dua anggota terbabit yang disifatkan bukan sahaja mencerminkan nilai kemanusiaan, malah meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pasukan keselamatan.

“Terima kasih Koperal Siva dan Konstabel Jerico kerana bukan sekadar menjalankan tugas, tetapi menunjukkan nilai kemanusiaan, keprihatinan dan tanggungjawab dalam erti kata sebenar.

“Jasa kalian akan sentiasa kami kenang,” katanya.

Hantaran yang dimuat naik dan dikongsi di Facebook itu turut mengundang reaksi pengguna media sosial yang tersentuh dengan jasa serta pengorbanan kedua-dua anggota polis terbabit dalam membantu keluarga berkenaan ketika berdepan situasi cemas. -KOSMO! ONLINE

The post ‘Terima kasih Koperal Siva, Konstabel Jerico’ appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved