'Terima kasih pasukan SAR, kami sangat bersyukur'

8 Sep 2026 • 1:11 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Terima kasih pasukan SAR, kami sangat bersyukur'
Ahli keluarga berkumpul di IPD Gerik semeentara menanti proses keterangan dilakukan.
Image from: 'Terima kasih pasukan SAR, kami sangat bersyukur'
Ahmad Ridhuan

GERIK - "Kami sekeluarga memang sangat-sangat lega dan bersyukur."

Itu luahan penuh kelegaan wakil keluarga selepas empat sekeluarga bersama dua malim gunung yang dilaporkan hilang ketika mendaki Gunung Trans Gerah (Trans GBB) di kawasan Kem Kulim ditemui selamat pada Isnin.

Enam individu terbabit ialah dua malim gunung, Shafiee Sidek, 49, dan Hazman Mamat, 43, manakala empat sekeluarga iaitu Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, isterinya, Siti Zulaiha Norizan, 39, bersama dua anak mereka, Diya Raisha, 13, serta Ahmad Raef, 9.

Wakil keluarga, Ahmad Ridhuan Abdullah, 44, berkata, detik menerima perkhabaran bahawa kumpulan itu berjaya dihubungi sudah cukup meredakan kebimbangan keluarga yang sebelum itu tidak lena tidur selama beberapa hari.

**media[3640087]**

“Sebaik dimaklumkan mereka dapat dihubungi, itu adalah momen pertama yang kami rasa sangat lega. Ketika itu kami belum jumpa mereka lagi, tetapi sekurang-kurangnya tahu mereka selamat.

“Memang tiga hari tiga malam kami tidak tidur lena, makan pun tidak tentu arah. Bila sah mereka selamat, kami benar-benar rasa bersyukur,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik di sini pada Selasa.

Media dimaklumkan, semua mangsa ditemui selamat kira-kira jam 4.40 petang sebelum keluarga menerima maklumat sekitar jam 5 petang.

ARTIKEL BERKAITAN: Hilang ketika mendaki: Wan Ahmad Aslam, isteri dua anak masih belum ditemui

Ahmad Ridhuan yang juga abang ipar kepada Wan Ahmad Aslam berkata, keluarga menerima panggilan video sebaik kumpulan itu tiba di Pos Kemar dan disahkan berada dalam keadaan baik selain tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Alhamdulillah semua sihat, termasuk dua malim gunung. Mereka juga telah diperiksa di klinik dan tidak perlu rawatan lanjut di hospital,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Ridhuan berkata, kumpulan itu pada awalnya dijangka keluar pada 3 September lalu, namun kelewatan menyebabkan keluarga mula bimbang sebelum laporan polis dibuat.

"Walaupun mereka ini berpengalaman. Anak itu pun sudah biasa mendaki sejak kecil, tetapi sebagai keluarga, perasaan bimbang itu tetap ada," katanya.

Menurutnya, kumpulan itu dijangka pulang ke Shah Alam sebelum ke Yong Peng, Johor selepas selesai urusan di IPD Gerik.

"Buat masa ini, kami mungkin akan minta mereka berehat sementara waktu daripada aktiviti pendakian...eloklah berehat dahulu," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) termasuk pasukan malim gunung dari Perak dan Kelantan.

"Bantuan semua pihak sangat laju dan tersusun. Walaupun di media sosial ada macam-macam komen, pasukan SAR tetap teruskan kerja mereka dengan sangat berdedikasi.

"Kami sekeluarga ucapkan terima kasih tidak terhingga kepada semua yang terlibat," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved