
REMBAU – Di sebalik segala penderitaan yang dialami, seorang pesakit kanser, Md. Azman Ali, 50, tetap mampu tersenyum apabila dia menerima kunjungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerusi Lawatan Prihatin Skuad Perkeso Prihatin Negeri Sembilan di kediaman ibunya di Sungai Layang, di sini semalam.
Kunjungan itu hanya sehari selepas kisah Azman yang terpaksa meraih ihsan ibunya selepas dia menderita kanser hati tahap empat selain kanser usus disiarkan Kosmo! semalam.
“Saya rasa nasib saya terbela apabila ada pihak yang mengambil berat tentang keadaan kami,” katanya di sini semalam.
Menurutnya, keprihatinan Perkeso itu sedikit sebanyak memberi kegembiraan kepadanya terutama ketika berdepan ujian kesihatan selepas disahkan menghidap dua jenis kanser.
“Saya terharu apabila Perkeso mengambil berat tentang pekerja yang mencarum. Terima kasih atas bantuan ini dan usaha untuk membantu saya,” katanya.
Azman yang mula bekerja di kilang sebelum beralih menjadi pemandu lori berkata, dia telah mencarum dengan Perkeso sejak 1995 menerusi urusan yang dikendalikan majikannya.
Bagaimanapun, dia tidak mengetahui bahawa dirinya masih layak memohon faedah Perkeso selepas berhenti kerja sekitar tahun 2024.
“Sebelum ini saya ingat potongan gaji itu sekadar caruman wajib dan saya hanya tahu Perkeso membantu jika berlaku kemalangan. Rupanya banyak lagi faedah yang disediakan,” katanya.
Sementara itu, Skuad Perkeso Prihatin Negeri Sembilan memaklumkan lawatan tersebut diadakan susulan maklumat awal yang diterima daripada media.
Semakan rekod caruman mendapati Azman masih mempunyai kelayakan untuk mengemukakan permohonan di bawah faedah Pencen Ilat.
Lawatan itu turut bertujuan menyantuni Azman, menyampaikan kotak sumbangan serta memberikan penerangan mengenai faedah yang boleh dipohon berdasarkan kelayakannya.
The post ‘Terima kasih Perkeso, nasib saya akhirnya terbela’ appeared first on Kosmo Online.

