
REMBAU – “Sepatutnya saya yang jaga mak pada usia tua, tetapi sekarang mak pula jaga saya.
Demikian luahan bekas pemandu lori, Md. Azman Ali, 50, yang mengharapkan ihsan ibunya, Saodah Abdul Majid, 75, selepas disahkan menghidap kanser usus dan hati tahap empat.
Bapa kepada tiga anak itu terpaksa melupakan hasrat kembali bekerja selepas kesihatan merosot hingga berat badannya susut daripada 58 kilogram (kg.) kepada 46 kg.
Menurutnya, dia sebelum ini menetap di Ipoh, Perak bekerja sebagai pemandu lori kontrak berhenti pada 2024 untuk berniaga lemang pada hujung minggu serta musim perayaan.
Katanya, kehidupan mula berubah apabila dia kerap membuang air besar, sakit perut dan perut membengkak.
“Saya ingatkan sakit perut biasa. Lama-kelamaan perut mula membengkak dan terasa tegang,” katanya di Kampung Sungai Layang, di sini baru-baru ini.
Katanya, dia kemudian menjalani pemeriksaan di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban termasuk ujian darah sebanyak lima kali serta imbasan tomografi berkomputer bagi mengenal pasti punca kesakitan dialaminya.
“Selepas beberapa kali pemeriksaan, doktor memaklumkan terdapat ketumbuhan pada usus dan hati. September lalu, saya dimaklumkan menghidap kanser tahap empat,” katanya.
Menurutnya, sejak tidak lagi mempunyai pendapatan tetap, dia bergantung kepada bantuan abangnya, Md. Azmi selain sumbangan saudara mara bagi menampung perbelanjaan harian.
Katanya, isterinya, Norbazura Jamil, 43, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), turut berdepan kekangan kewangan kerana perlu mengurus tiga anak berusia 18, 13 dan 12 tahun.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Sahabat Prihatin Kota, Syaiful Azman Mohd. Zin berkata, pihaknya membantu keluarga itu mendapatkan bantuan termasuk melalui Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Individu yang mahu menyumbang boleh menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Saodah iaitu 1010941000143233.
The post ‘Sepatutnya saya yang jaga mak’ appeared first on Kosmo Online.






