Terima Laporan Ada Orang Jatuh Longkang, Lepas Sejam Cari Rupanya Mangsa…

Entertainment
6 Oct 2023 • 11:45 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Pelik tapi benar, misteri ‘kehilangan’ seorang lelaki yang dilaporkan terjatuh ke dalam longkang di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur berhampiran sebuah sekolah terjawab apabila mangsa sendiri tiba-tiba ‘muncul’ di sebalik orang ramai ketika pasukan penyelamat sibuk melakukan pencarian.

Menurut laporan, mangsa merupakan seorang lelaki warga Myanmar berusia 27 tahun berjaya keluar sendiri dari longkang itu sempat pulang ke rumah dan mandi sebelum kembali ke lokasi kejadian.

image is not available

Mangsa kemudian memaklumkan perkara itu selepas lebih sejam pencarian dilakukan sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam kawasan loji dan kumbahan itu yang dikatakan sedalam 3.65 meter.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur Mejar (PA) Ahmad Junaidi Dukut Soeharto berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 5.51 petang semalam.

“Seramai 14 anggota bersama beberapa jentera dari APM Kuala Lumpur dan Gombak dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kami dimaklumkan terdapat seorang mangsa terjatuh dalam longkang yang juga kawasan kumbahan sedalam 3.65 meter,” katanya.

Ujarnya, ketika pencarian mangsa dilakukan lebih satu jam di dalam kawasan loji, seorang lelaki warga Myanmar berusia 27 tahun hadir di lokasi.

“Lelaki itu memaklumkan dia adalah mangsa yang terjatuh ke dalam longkang berkenaan semasa memotong rumput selepas terpijak zink yang menutup lubang kumbahan berkenaan.

“Mangsa memberitahu dia segera berpaut dengan mesin memotong rumput untuk memanjat naik ke atas sebelum segera balik ke rumah dan membersihkan diri,” katanya.

Mangsa difahamkan tidak mengalami sebarang kecederaan. Susulan penjelasan mangsa, operasi pencarian terus dihentikan.

Mujur tiada perkara yang serius yang berlaku. Tapi, kesian pula dengan pasukan keselamatan jenuh mencari mangsa…

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.