Terima Mesej Pelajar Cemerlang Berhenti Belajar, Asyraf Wajdi Tidak Berdiam Diri

LocalPolitics
29 Sep 2025 • 12:00 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Terima Mesej Pelajar Cemerlang Berhenti Belajar, Asyraf Wajdi Tidak Berdiam Diri

“Sesungguhnya hanya dengan ILMU sahaja boleh merubah kehidupan.”

Itulah ungkapan yang sering diulang dan menjadi pegangan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Hari ini, satu lagi kisah yang nyata menyentuh hati ramai, dikongsikan oleh Asyraf Wajdi di laman Facebook miliknya.

Beliau menerima mesej tentang seorang pelajar cemerlang SPM yang memperoleh 9A dan berjaya menamatkan pengajian peringkat Asasi dengan CGPA 3.87.

Malangnya, kongsi beliau, pelajar tersebut terpaksa menghentikan pengajian dan memilih untuk bekerja di kilang hanya kerana desakan hidup.

Menurut beliau, pelajar itu merupakan bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

“Ayahnya sakit manakala ibunya hanya bekerja membantu membungkus nasi lemak.

“Apabila pelajar ini dapat email bahawa pihak Universiti tak dapat menawarkan bantuan, beliau ambil keputusan sendirian untuk tidak meneruskan pengajian ke kampus induk setelah berjaya menamatkan pembelajaran di peringkat Asasi dengan mendapat keputusan cemerlang CGPA 3.87. Sebaliknya, beliau bekerja kilang untuk menampung keluarga,” kongsi beliau.

Asyraf Wajdi tidak berdiam diri

Menyedari hakikat itu, Asyraf Wajdi tidak berdiam diri. Katanya, beliau segera meminta UMNO Bahagian untuk membantu mendapatkan bantuan buat keluarga berkenaan.

Malah, beliau sendiri berhasrat ingin berjumpa dengan pelajar itu bagi memujuknya kembali menyambung pelajaran.

Lebih bermakna, hasil perbincangan awal bersama Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA, MARA sepakat untuk menawarkan peluang baharu kepada pelajar ini.

Pelajar itu bakal ditawarkan tempat dalam bidang Kejuruteraan Elektrik di British Malaysian Institute (BMI) di bawah Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

“Saya dah berbincang dengan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA lepas Subuh tadi dan bersetuju untuk menawarkan tempat dalam bidang Kejuruteraan Elektrik di British Malaysia Institute (BMI) bawah UniKL yang seiring dengan pencapaian keputusan Asasinya,” kata Asyraf Wajdi.

https://www.facebook.com/share/p/1Bd6uhAe6N/

Sebenarnya, kisah ini bukan sekadar tentang seorang pelajar. Tetapi, ia cerminan realiti ramai anak muda di luar sana yang berdepan dilema antara meneruskan pelajaran atau mengorbankan impian demi keluarga.

Namun, tindakan pantas dan komitmen pihak MARA membuktikan bahawa tiada anak bangsa yang sepatutnya terpinggir hanya kerana faktor kemiskinan.