Terima Rawatan HRC, Ini Layanan Dua Darjat - Syed Saddiq

LocalPolitics
21 Sep 2022 • 3:23 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman - Gambar fail

KUALA LUMPUR – ‘Layanan istimewa’ diberikan ke atas mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak jelas membuktikan wujud amalan pilih kasih oleh Jabatan Penjara Malaysia.

Pengerusi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ‘keistimewaan’ itu membuatkan Najib dilihat sedang ‘selesa’ menerima rawatan di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) sejak Isnin lalu.

Menurut beliau, tindakan itu jelas membuktikan kebenaran pelbagai pihak bahawa wujudnya layanan dua darjat yang dilakukan oleh Jabatan Penjara Malaysia.

“Justeru, dakwaan pasal 'merpati' betul lah? 

“Jadi, banduan pun masih ada layanan dua darjat,” soalnya menerusi ciapan di Twitter miliknya, hari ini.

Terdahulu, Jabatan Penjara Malaysia menerusi kenyataan mengesahkan Ahli Parlimen Pekan itu sedang dirawat di HRC susulan keadaan kesihatan yang tidak memuaskan.

Jurucakap jabaan berkata, Najib akan dihantar semula ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara sebaik sahaja menerima pelepasan perubatan pakar perubatan HRC atau Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Beliau terlebih dahulu dihantar ke HKL untuk rawatan oleh pakar hari ini dan HKL telah merujuk Datuk Seri Najib ke HRC untuk rawatan dan pemantauan lanjutan,” katanya.

Menurut jurucakap itu, adalah menjadi  tanggungjawab Jabatan Penjara di bawah Akta Penjara untuk menjaga kesihatan banduan termasuk kemudahan rawatan dan ubat-ubatan.

Mantan Presiden UMNO itu dikatakan mengalami sakit perut ketika menjalani hukuman di Penjara Kajang, menyebabkan beliau dibawa ke HKL untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Susulan kejadian, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar mendesak agar penjelasan diberikan terhadap layanan istimewa yang diperoleh Najib itu.

“Kalau info tak bocor (leak), rasanya ada keluar ke statement dari Jabatan Penjara?.

“Pihak terlibat harus beri penjelasan kenapa rawatan istimewa (special treatment) diberikan kepada Najib,” katanya. - Getaran, 21 September 2022.