Terjatuh Dari Tingkat 18, Pelajar China Ditemukan Maut

12 Nov 2025 • 6:13 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Seorang remaja warganegara China berusia 18 tahun ditemui maut, selepas dilaporkan terjatuh dari tingkat 18 sebuah kondominium di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan hari ini:

Pelajar tersebut, yang menuntut di sebuah kolej swasta di kawasan berkenaan, ditemui di aras lima sekitar jam 7 pagi tadi. 

Getaran diberitahu, penduduk setempat yang menyaksikan kejadian itu segera menghubungi talian kecemasan 999.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, siasatan awal mendapati tiada kecederaan luaran pada mangsa kecuali pendarahan di telinga dan ruam pada badan.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa tinggal di kawasan perumahan itu bersama seorang rakan senegara,” katanya.

Abdul Malik memberitahu, tiada barangan peribadi mangsa yang dilaporkan hilang. 

“Pasukan penyiasat juga mendapati lantai di tempat kejadian dalam keadaan basah, dipercayai kerana mangsa telah membuang air kecil semasa jatuh,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Rembau untuk bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, dan tiada unsur jenayah dikesan,” katanya.

Pihak berkuasa turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi berhubung kejadian tersebut demi menghormati keluarga mangsa dan bagi mengelakkan gangguan terhadap siasatan yang sedang dijalankan.

“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai di talian 06-7902222,” katanya. - Getaran, 12 November 2025